Malam ini skuad Harimau Malaya akan menentang pasukan di ranking FIFA 135, Turkmenistan untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Tahun lepas, skuad Harimau Malaya menewaskan Turkmenistan 3-1 ketika saingan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil. Namun, kali ini ketua jurulatih, Kim Pan Gon menyenaraikan beberapa pemain baharu untuk menguji kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil, Pan Gon telah mengekalkan seramai 9 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Januari lalu.

Lebih menarik, kem latihan pusat kali ini turut disertai oleh dua pemain naturalisasi baharu iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue yang telah menerima taraf warganegara Malaysia.

Antara pemain baharu tempatan dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, dan Feroz Baharudin.

Turut dipanggil ialah pemain kacukan Malaysia dari luar negara iaitu Nooa Laine. Laine sebelum ini pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Kim Pan Gon juga dijangka mengekalkan formasi yang sama ketika digunakan dalam saingan Piala AFF bulan lalu.

Berikut ialah ramalan kesebelasan utama skuad Harimau Malaya menentang Turkmenistan:

(Formasi: 3-4-3)

Di posisi penjaga gol, Syihan Hazmi bakal menjadi pilihan utama untuk memastikan gawang negara tidak bolos dengan mudah.

Pemain Buriram United, Dion Cools dijangka mengetuai bahagian pertahanan berganding dengan pemain muda meningkat naik, Feroz Baharudin dan Khuzaimi Piee. Mereka juga akan dibantu oleh Matthew Davies dan Corbin Ong di bahagian kanan dan kiri.

Berdasarkan prestasi dalam saingan Liga Super musim ini, Kim Pan Gon juga kemungkinan akan menurunkan pemain naturalisasi, Endrick Dos Santos di bahagian tengah berganding dengan Brendan Gan.

Pemain paling bernilai Liga Malaysia musim lepas, Arif Aiman sudah pasti menjadi pilihan untuk mengisi posisi sayap kanan, manakala Faisal Halim yang cemerlang ketika saingan Piala AFF 2022 berpeluang mengisi posisi sayap kiri.

Pemain Sabah, Darren Lok yang mendapat minit permainan sebanyak 387 dalam saingan Liga Malaysia musim ini dijangka akan beraksi sebagai penyerang utama.

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan secara langsung di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!