Khas buat peminat bola sepak Malaysia, TV9 bakal menyiarkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Ibrahim dalam rangka persediaan untuk menghadapi Piala Asia tahun depan.

Ia dimulakan dengan perlawanan persahabatan diantara Malaysia menentang Turkmenistan pada 23 Mac (Khamis) diikuti dengan satu lagi perlawanan bertemu Hong Kong pada 28 Mac (Selasa).

Siaran langsung kedua-dua perlawanan ini akan bermula pada pukul 9.30 malam kerana berlangsung pada bulan Ramadhan selepas waktu berbuka.


Sudah tentu ramai peminat dan penonton tidak sabar melihat aksi-aksi hebat daripada pemain skuad Harimau Malaya seperti Faisal Halim, Brendan Gan, Dion Cools dan Darren Lok.

Lebih menarik, skuad Harimau Malaya kali ini turut diperkuatkan oleh dua pemain naturalisasi baharu iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue yang telah menerima taraf warganegara Malaysia bulan lalu.

Antara pemain baharu tempatan dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, dan Feroz Baharudin.

Dua aksi persahabatan ini merupakan medan untuk ketua jurulatih, Kim Pan-gon menjalankan ‘eksperimen’ bagi menilai prestasi pemain baharu dan lama dalam perlawanan kompetitif di pentas antarabangsa.

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!