Satu berita kurang memberangsangkan bagi skuad kebangsaan apabila pemain tengah, Syamer Kutty Abba dihantar ke Barcelona, Sepanyol bagi menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan yang dialami.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Syamer bakal menjalani pembedahan lutut dan beliau dijangka berehat untuk satu jangka masa yang lama.

Syamer berkemungkinan besar akan terlepas aksi peringkat 16 pasukan terakhir saingan AFC Champions League (ACL) menentang kelab Jepun, Urawa Red Diamonds yang dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos nanti.

Selain itu, pemain berusia 24 tahun ini mungkin terlepas aksi bersama skuad Harimau Malaya iaitu siri perlawanan persahabatan antarabangsa dan juga saingan Piala AFF Mitsubishi Electric yang dijadualkan berlangsung selepas temasya Piala Dunia 2022 di Qatar.

Syamer Kutty menjadi antara nadi utama pasukan negara ketika saingan peringkat kelayakan pusingan ketiga temasya Pial Asia 2023 yang berlangsung di laman sendiri iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun lalu.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mencipta gandingan yang cukup sempurna bersama Nor Azam Azih di bahagian tengah sekaligus membantu Malaysia layak ke Piala Asia tahun hadapan.

Syamer Kutty
Sumber Gambar: FAM

Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada perkembangan daripada kelabnya iaitu JDT sama ada Syamer mengalami kecederaan lutut yang serius ataupun kecederaan ringan yang memerlukan beliau untuk berehat dalam satu jangka masa yang singkat.

Sekiranya Syamer terpaksa berehat panjang dan terlepas aksi bersama pasukan negara, maka ketua jurulatih iaitu Kim Pan-gon perlu melihat kepada alternatif lain bagi memastikan bahagian tengah negara diisi oleh pemain yang memiliki kualiti serupa dengan Syamer.

Pan-gon bakal menggunakan baki aksi saingan Liga Super dan Piala FA selain Piala Malaysia bagi membuat penilaian sekaligus memanggil pemain yang menepati kualiti yang diperlukan oleh pasukan negara.

Pasukan negara bakal terbang ke Thailand untuk menghadapi Kejohanan Persahabatan 4 Penjuru yang dijadualkan berlangsung pada September nanti. Masih belum diketahui pasukan mana yang akan menjadi lawan skuad kebangsaan nanti.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

TRW Kelantan Catat Keuntungan Buat Kali Pertama Sejak Diambil Alih Oleh Zamsaham

FAM: Hanya Tindak Balas Spontan Pengadil, Tiada Niat Sepak Fazly Mazlan

Sebuah Pasukan Liga Super Bakal Tamatkan Kontrak Ketua Jurulatih