Presiden LaLiga, Javier Tebas memberikan amaran kepada Barcelona supaya lebih peka terhadap isu gaji pemain berbanding hanya memfokuskan kepada usaha meningkatkan sumber kewangan pasukan.

Hal ini kerana Tebas menganggap bebanan gaji yang perlu ditanggung kelab gergasi Sepanyol itu untuk membayar pemain-pemain mereka jelas amat membimbangkan.

Barcelona yang sebelum ini menghadapi masalah kewangan meruncing sehingga menyebabkan mereka tidak dibenarkan untuk mendaftarkan pemain baharu.

Keadaan itu menyebabkan Barcelona telah bertindak menjual aset seperti 25% hak televisyen domestik untuk 25 tahun mendatang serta 49% kepentingan dalam Barca Studios dengan jumlah lebih lebih €700 juta.

Langkah tersebut dikenali sebagai menarik tuil (lever) ekonomi yang membawa maksud tindakan untuk mengurangkan sekatan disebabkan oleh situasi hutang kelab dengan menjual sebahagian aset untuk membawa kepada pendapatan.

Susulan dengan tindakan itu, had perbelanjaan Barcelona untuk musim ini telah meningkat sebanyak sekitar €800 juta daripada angka negatif sebelum ini.

Bagaimanapun, Tebas melihat terdapat masalah yang bakal dihadapi oleh juara liga 26 kali itu sekiranya langkah proaktif tidak diambil.

“Situasi mereka [merujuk Barcelona] agak rumit pada ketika ini,” ujar Tebas menurut laporan Mundo Deportivo.

“Musim ini mereka dapat bertahan kerana mereka telah menarik tuil ekonomi, tetapi ia tidak akan berjaya pada tahun hadapan. Mereka perlu mengurangkan beban gaji mereka.”

“Mereka tidak boleh terus membelanjakan €500 juta untuk gaji pemain. Jika keadaan itu berterusan, maka 1/4 daripada pemain mereka tidak akan dapat bermain pada musim depan.”

“Jika mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), maka pendapatan mereka akan berkurangan dengan banyaknya.”

“Ya, mereka tidak perlu membelanjakan wang untuk membayar bonus jika mereka tidak layak ke pusingan kalah mati UCL. Bagaimanapun, keadaan tidak akan banyak berubah,” tambah Javier Tebas lagi.