Tugas berat sedang menanti skuad Terengganu FC (TFC) apabila mereka bakal bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa kelibat dua tonggak tengah, Habib Haroon dan Liridon Krasniqi pada aksi Piala Sumbangsih malam ini.

Khidmat Liridon Krasniqi tidak dapat digunakan kerana terikat dengan kontrak pinjaman antara skuad Penyu dengan JDT. Manakala Habib Haroon terpaksa direhatkan antara dua hingga ke tiga minggu kerana kecederaan hamstring.

Selain Krasniqi dan Habib, beberapa pemain utama lain termasuk tonggak sayap, Faiz Nasir juga tidak dapat beraksi kerana faktor kecederaan.

Namun begitu, ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner mahu pasukannya bermula dengan langkah kanan selain satu simbol yang mereka mampu berada dalam kalangan pencabar kejuaraan.

Beliau juga tidak mahu pemain-pemainnya hanya sekadar memikirkan untuk bermain secara bertahan tetapi sedia mengimbangi corak permainan JDT.

“Esok sudah tentu saya mahu melihat bagaimana corak serangan yang akan ditampilkan JDT tetapi jika saya hanya melihat begitu, ini bukan sesuatu yang baik kepada saya serta pasukan.

“Saya perlu mengambil risiko untuk bermain secara menyerang jika mahu keputusan yang positif pada aksi sumbangsih ini.

“Pemain-pemain saya tidak boleh tampil bertahan semata-mata dan harap pemain saya boleh beraksi dengan tahap keyakinan tinggi kerana ini adalah aksi pertama bagi musim baharu, ramai pihak akan melihat perlawanan ini.

“Terengganu bukan sebuah pasukan yang mengharapkan 11 sahaja pemain tetapi kami masih ada 20 pemain berkualiti walaupun kami tidak dapat menurunkan Faiz Nasir ekoran kecederaan selain ketiadaan Habib Haroon dan Liridon Krasniqi, ” katanya.

Sebagai rekod, JDT telah memenangi tujuh kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sejak musim 2015-2022 kecuali pada 2017 apabila tewas kepada Kedah melalui penentuan sepakan penalti (5-4) selepas terikat seri 1-1.

Musim 2001 menjadi satu-satunya kejuaraan tunggal yang dimiliki Terengganu apabila menumbangkan Perak 4-0 tetapi tewas 1-2 pada tahun berikutnya kepada Selangor.