Penampilan pertama pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dalam perlawanan pertama Liga Malaysia musim ini terpaksa ditangguhkan apabila beliau disahkan tidak dapat beraksi pada perlawanan Sumbangsih, Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) 24 Februari ini.

Menurut kenyataan daripada Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner, khidmat pemain berusia 31 tahun itu tidak dapat digunakan kerana terikat dengan kontrak pinjaman antara skuad Penyu dengan JDT.

“Sudah tentu kami gembira Liridon dapat bermain untuk pasukan sebagai pemain tengah untuk memperbaiki bahagian pertahanan kami tetapi dia tidak boleh bermain dalam perlawanan Sumbangsih kerana semuanya telah tercatat dalam kontrak antara TFC dan JDT.

“Saya telah menyediakan sesuatu yang berbeza untuk menentang JDT. Harap ia akan berjaya dan kami akan dapat kemenangan pertama dalam Liga Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Terengganu merupakan kelab keempat Liga Malaysia disertai oleh pemain itu. Selain JDT, beliau pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman ketika dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe serta Melaka United.

Mat Don juga bakal memakai jersi bernombor 80 memberikan lebih pilihan di bahagian tengah pasukan itu.

Steinbruckner berkata selain Krasniqi, beberapa pemain utama lain termasuk tonggak tengah import, Habib Haroon dan Faiz Nasir juga tidak dapat beraksi kerana faktor kecederaan.

Menurut beliau Habib terpaksa direhatkan antara dua hingga ke tiga minggu kerana kecederaan hamstring manakala Faiz yang beraksi di posisi sayap, belum cergas sepenuhnya memandangkan baru dua hari kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas berehat panjang.

“Habib mengalami kecederaan sejak perlawanan pramusim di Thailand minggu lepas dan Faiz pula baru sahaja menyertai latihan selepas berehat panjang kerana masalah kesihatan dan keluarga.

“Penjaga gol, Suhaimi (Suhaimi Husin) dan Abe (Rahadiazli Rahalim) adalah pilihan pertama kerana mereka berpengalaman dan prestasi,” katanya.