Skuad Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Malaysia musim ini apabila menewaskan Negeri Sembilan, 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Kemenangan itu turut mengukuhkan kedudukan skuad penyu itu di tangga teratas kumpulan A selepas mengumpulkan 9 mata tanpa kalah dan mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir.

Baca: Penjaga Gol Terengganu FC, Suffian Abdul Rahman Disahkan Meninggal Dunia

Dalam perlawanan tersebut, pasukan kendalian Nafuzi Zain itu bermula dengan garang dan kerap kali memberi tekanan kepada benteng pertahanan Negeri Sembilan.

Tuan rumah memperolehi gol pertama pada minit ke 42 hasil daripada rembatan dari luar kotak penalti oleh penyerang import, Kipre Tchetche selepas menerima hantaran cantik dari Sanjar Shaakmedov. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, stadium kembali bergegar dengan sorakan penyokong apabila pemain kelahiran Ivory Coast itu manfaatkan hantaran Adib Aizuddin untuk jaringan kedua namun dibatalkan oleh pengadil utama kerana mendakwa berada dalam kedudukan ‘off side’.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat Tchetche untuk terus meledak gol selepas tiga minit kemudian apabila bijak menanduk masuk sepakan sudut Kapten TFC, Lee Tuck untuk mengukuhkan kedudukan kepada 2-0.

Pada minit ke 66, kesilapan benteng pertahanan tuan rumah akhirnya dihukum oleh pelawat melalui Igor Luiz yang menanduk masuk hantaran Ferris Danial. Kedudukan perlawanan berubah kepada 1-2.

Ketika masa permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, penyerang sensasi skuad Penyu itu melengkapkan hatrik apabila menyudahkan umpanan pemain gantian, Malik Mat Ariff bagi memastikan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu melakar kemenangan 3-1.

Kemenangan itu juga ditujukan khas untuk penjaga gol mereka, Allahyarham Suffian Abdul Rahman yang telah menghembus nafas terakhir tengahari semalam akibat serangan jantung.

Kali terakhir penjaga gol itu disenaraikan dalam kesebelasan utama TFC ialah ketika skuad itu tewas 3-5 kepada pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) pada Mei lalu sebelum Irfan Bakti meletak jawatan sebagai ketua jurulatih.