Penjaga gol skuad Terengganu FC (TFC), Suffian Abdul Rahman dilaporkan telah meninggal dunia tengahari tadi di rumahnya yang terletak di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu akibat serangan jantung. Perkembangan itu disahkan sendiri oleh jurugambar rasmi TFC, Razzi Harun melalui laman facebooknya.

Allahyarham yang sinonim dengan panggilan Tiger sebelum ini dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 2 Ogos lepas untuk mendapatkan rawatan. Menurut Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tunggal selepas solat Asar petang ini.

Penjaga gol yang berusia 41 tahun itu merupakan tonggak utama skuad Terengganu FC dalam kejayaan mereka mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu dan ketiadaan beliau minggu lalu memberikan sedikit masalah untuk pengendali pasukan, Nafuzi Zain mencari penggantinya.

Mohon+doa+jangan+buat+spekulasi
FOTO: Terengganu FC

Terengganu FC kini mempunyai tiga penjaga gol, mereka adalah Muhammad Ilham Amirullah Razali, Wan Azraie Wan Teh dan Shafawi Mohamad.

Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada badan pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL) mengenai status aksi Piala Malaysia di antara Terengganu FC menentang Negeri Sembilan malam ini sama ada ditangguhkan atau tidak.

Kami di Vocket FC ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Suffian Abdul Rahman. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.