Selangor MAC menamatkan kempen Piala Futsal AFF 2022 ditangga ketiga selepas berjaya menundukkan Sahako FC 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 40 minit berakhir dengan terikat 2-2.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor MAC mengekalkan pencapaian yang diraih pada musim lalu pada saingan yang turut diadakan di Terminal 21, Nakhon Ratchasima.

Selangor bagaimanapun tersentak seawal minit kelima apabila rembatan dilakukan Dinh Van Toan gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Syawal Sabaruddin.

Ketika wakil dari Vietnam itu kelihatan cukup selesa untuk memberikan tekanan, Selangor MAC barjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-14 selepas percubaan Matheus Vasconcelos terkena Duong Ngoc Linh lalu melepasi celah kaki penjaga gol, Nguyen Hoang Anh.

Duong Ngoc menebus kesilapan tersebut dengan jaringan kedua buat Sahako pada minit ke-29 selepas beliau dengan tenang melakukan percubaan lambung menewaskan Syawal susulan hantaran jauh daripada Khong Dinh Hung.

Kelebihan itu hanya mampu bertahan selama tiga minit apabila kesilapan Ngo Ngoc Son di kawasan sendiri membolehkan Khairul Effendy Bahrin meledakkan rembatan bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk pemenang tempat ketiga Piala Futsal AFF 2022 terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Syawal Sabaruddin muncul wira buat Selangor MAC selepas beliau menafikan sepakan kelapan yang diambil Nguyen Dac Huy dan kemudiannya pemain muda, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan menyempurnakan sepakan untuk mengesahkan kemenangan buat skuad kendalian Aranha De Siqueira Lima itu.