Hajat Selangor MAC untuk melangkah ke pentas final Piala Futsal AFF 2022 tidak kesampaian apabila tunduk 2-6 ditangan wakil Thailand, Hongyen Thakam pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima sebentar tadi.

Hongyen Thakam yang merupakan pendahulu Liga Futsal Thailand 2022 tidak menunggu lama untuk menguji gawang Selangor MAC menerusi Wendel Da Silva Mendes seawal minit pertama.

Bagaimanapun, percubaan pemain import dari Brazil itu diselamatkan dengan baik penjaga gol, Muhammad Syawal Sabaruddin.

Kehampaan itu ditebus Katawut Phoopan berselang empat minit kemudian apabila percubaan jarak dekat dilakukannya menewaskan Syawal walaupun barisan pemain Selangor MAC membantah jaringan tersebut kerana mendakwa bola masih sempat diselamatkan di atas garisan.

Pengadil perlawanan, Thi Ly Hoang Ha dan Windy Agustina Putra bagaimanapun tetap mengesahkan jaringan tersebut.

Memasuki mini ke-10, skuad kendalian Aranha De Siquera itu kembali menyamakan kedudukan selepas pemain berpengalaman, Akmal Yazadh Amri menyempurnakan peluang dalam kawasan D susulan hantaran dilakukan Saad Sani.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Wilson Veiga Neto menceriakan penyokong tuan rumah apabila beliau dengan tenang menyudahkan sepakan percuma pada minit ke-13.

Aksi lebih menarik dapat disaksikan pada babak kedua apabila Matheus Vasconcelos Silva mengikat kedudukan pada minit ke-21 dan tidak sampai seminit, Supot Makrak kembali memberikan kelebihan buat Hongyen Thakam.

Selepas itu, Hongyen Thakam yang dibimbing oleh Thanatorn Santanaprasit terus meningkatkan intensiti permainan sekali gus menambah tiga lagi jaringan menerusi Wittaya Duangpo, Wendel dan Amarin Akapan untuk mengesahkan aksi final buat mereka.

Dengan keputusan ini, Hongyen Thakam akan bertemu Bintang Timur Surabaya di perlawanan akhir manakala Selangor MAC bakal sekali lagi membuat perhitungan dengan Sahako FC dari Vietnam untuk penentuan tempat ke-3/4.