Dua jaringan pada lewat permainan membuatkan Selangor MAC berputih mata apabila tumpas 1-2 ditangan Sahako FC pada aksi kedua peringkat kumpulan Piala Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima sebentar tadi.

Kekalahan itu sekali gus menjadikan Selangor MAC selaku naib juara kumpulan B untuk menempah pertemuan dengan Hongyen Thakam di separuh akhir.

Aksi separuh akhir menentang wakil dari Thailand itu dijadualkan berlangsung pada 4 petang (waktu Malaysia), Khamis ini.

Manakala, Sahako FC selaku juara kumpulan dengan mencatatkan dua kemenangan pula bakal menghadapi cabaran juara Liga Futsal Indonesia musim ini, Bintang Timur Surabaya.

Piala Futsal AFF 2022: Selangor MAC Cemerlang Pada Aksi Pembukaan

Selangor MAC yang pastinya mahu memperbaiki pencapaian berada di tempat ketiga edisi 2021 berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi ledakan padu kaki kanan Muhammad Ekmal Shahrin.

Jaringan awal itu bagaimanapun membuatkan wakil dari Vietnam tersebut tersentak daripada lamunan dengan tampil lebih kemas untuk memburu jaringan penyamaan.

Aksi yang dipamerkan Selangor MAC terutamanya pada babak pertama jelas sedikit tenggelam berikutan tekanan hebat diberikan lawan tersebut.

Deretan peluang berbahaya dicipta oleh skuad kendalian Nguyen Tuan Anh itu tetapi Azrul Hadee Mohd Taufiq dan penjaga gol gantian, Muhammad Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln cukup kental bertahan bagi menghalang gawang mereka daripada dibolosi.

Namun, kecemerlangan Syaifuddin Syukri dalam menangkis setiap asakan lawan terhenti pada minit ke-37 apabila rembatan leret dilakukan Ling Doung Ngoc melepasi celah kaki beliau untuk kembali mengikat kedudukan.

Jaringan tersebut jelas menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Sahako FC yang tidak henti memberikan tekanan ke kubu Selangor MAC.

Segalanya membuahkan hasil ketika aksi hanya berbaki 36 saat untuk ditamatkan apabila Nguyen Dac Huy muncul wira dengan mudah menolak masuk bola untuk jaringan kemenangan.

Sebagai rekod sejak mula dipertandingkan pada 2015, hanya kelab dari Thailand pernah muncul juara saingan ini dimana Port FC melakukannya sebanyak tiga kali (2015, 2016, 2017), Chonburi menang pada dua edisi terakhir dan Bangkok BTS muncul juara edisi 2018.

Kredit Featured Image: Twitter ASEAN Football