Baki dua lagi slot separuh akhir Piala Dunia Futsal 2021 telah diisi oleh Portugal dan Kazakhstan yang menampilkan semangat juang tinggi untuk bangkit daripada ketinggalan pada pertemuan suku akhir, malam tadi.

Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Portugal tersentak dengan dua jaringan pantas dilakukan Adolfo Fernandez dan Adri Martinez untuk memberikan kelebihan buat Sepanyol.

Namun, keadaan itu langsung tidak merentap semangat juang anak buah Jorge Braz yang berusaha keras untuk mendapatkan jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-31 menerusi Andrea Coelho.

Mendapat umpanan daripada Ricardinho, Coelho tidak menunggu lama untuk meledakkan rembatan yang gagal ditepis dengan baik penjaga gol, Jesus Herrero bagi Portugal merapatkan defisit jaringan.

Ketika perlawanan hanya berbaki empat minit untuk ditamatkan, Zicky menyelamatkan Portugal daripada tersingkir di peringkat suku akhir apabila tolakannya dalam kawasan D setelah menerima hantaran cantik daripada Miguel berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Portugal untuk menambah jaringan apabila Jose Raya tertampan bola ke dalam gawangnya sendiri dalam usaha beliau untuk mengeluarkan bola hantaran Ricardinho dari kawasan berbahaya.

Kredit Foto: FIFA

Keadaan tersebut menyebabkan Sepanyol terpaksa menggunakan taktikal ‘Powerplay’ untuk menyamakan kembali kedudukan tetapi usaha mereka tidak membuahkan hasil dan sebaliknya memberikan ruang kepada Pany untuk menambah gol keempat buat Portugal.

Kemenangan itu menyaksikan Portugal akan berhadapan dengan Kazakhstan pada aksi separuh akhir selepas mereka berjaya menundukkan Iran 3-2.

Skrip yang sama turut dapat dilihat pada perlawanan ini selepas Iran mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Moslem Oladghobad dan Ahmad Esmeilspour.

Memasuki babak kedua, Kazakhstan meningkatkan serangan dengan memberikan begitu banyak ancaman dalam usaha memburu jaringan.

Gol pertama Kazakhstan menjelma pada minit ke-25 apabila percubaan daripada Dauren Tursagulov gagal dinafikan penjaga gol,  Alireza Samimi dan ia jelas meningkatkan moral skuad kendalian Paulo Figueroa itu.

Arnold Knaub menjadikan kedudukan 2-2 berselang empat minit kemudian selepas beliau menyempurnakan ‘setpiece’ menarik yang dicipta untuk terus memberikan tekanan buat Iran.

Taynan muncul wira buat Kazakhstan pada minit ke-39 apabila percubaannya selepas menerima umpanan menerusi sepakan sudut daripada Douglas Luiz Jr nyata mengelirukan Samimi untuk membawa negaranya ke separuh akhir.