Gergasi futsal dunia, Brazil memulakan kempen Piala Dunia Futsal 2021 di Lithuania dengan penuh bergaya apabila mudah membelasah Vietnam 9-1 pada perlawanan kumpulan D yang berlangsung di KlaipÄ—da Arena, awal pagi tadi.

Pemain Terbaik Dunia 2019 dan 2020, Ferrao membuktikan mengapa beliau layak mendapat pengiktirafan tersebut apabila pemain tonggak Barcelona itu meledakkan empat jaringan pada perlawanan ini.

Brazil yang merupakan juara lima kali saingan Piala Dunia Futsal tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas pemain berpengalaman, Rodrigo Araujo menolak masuk bola pada minit ketiga susulan permainan ‘satu dua’ menarik diciptanya bersama Ferrao.

Memasuki minit kelima, giliran Ferrao pula mudah menyempurnakan peluang selepas beliau menerima hantaran lintang di sebelah kiri pintu gol Vietnam daripada Gadeia.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Ferrao melakukan ‘turning’ cantik dan kemudiannya melepaskan rembatan yang sekali gus melepasi celah kaki penjaga gol, Ho Van Y untuk menambah jaringan ketiga berselang dua minit kemudian.

Vietnam yang sesekali memiliki peluang untuk menjaringkan gol mendapat jaringan saguhati pada minit ke-14 menerusi Khong Hung Dinh menerusi satu ‘set piece’ yang gagal dihalang penjaga gol Brazil, Guitta.

Kegembiraan Vietnam bagaimanapun tidak mampu bertahan lama apabila Brazil menambah jaringan keempat yang dihasilkan oleh Dieguinho, tidak sampai seminit selepas gol Hung Dinh itu.

Pito menjadikan kedudukan 5-1 ketika perlawanan memasuki minit ke-19 susulan percubaan ‘placing’nya di hadapan pintu gol tidak mampu diselamatkan Van Y.

Memasuki babak kedua, Ferrao melengkap hatriknya pada minit ke-21 dan tiga minit kemudian, beliau terus bernafsu untuk menambah jaringan keempat peribadinya.

Dieguinho dan Leonardo masing-masing menambah lagi satu jaringan untuk perlawanan berkesudahan 9-1 memihak skuad kendalian Xavier Marquinhos itu.

Ricardinho cuba melepasi kawalan pemain Thailand, Apiwat Chamcharoen. Kredit Foto: FIFA Futsal World Cup

Sementara itu satu lagi wakil dari Asia Tenggara (ASEAN), Thailand memberikan cabaran hebat buat Portugal terutamanya pada babak pertama sebelum terpaksa menelan kepahitan tunduk 1-4 pada perlawanan yang berlangsung di Kaunas Arena itu.

Thailand yang merupakan pasukan di tangga ke-18 ranking futsal dunia memberikan tekanan hebat buat Portugal dan turut berdisiplin dalam menyerap tekanan diberikan Portugal.

Segalanya tampak di laluan tepat buat Thailand apabila anak buah Rakphol Sainetngam berjaya mendahului lawan pada minit ke-16 apabila rembatan voli daripada Jirawat Sornwhician berjaya menewaskan penjaga gol Portugal, Bebe.

Ketika aksi babak pertama hanya tinggal beberapa saat untuk ditamatkan, Bruno Coelho kembali menyamakan kedudukan selepas rembatannya susulan sepakan percuma gagal ditepis dengan kemas Katawut Hankampa di gawang Thailand.

Portugal yang turut mendapat sentuhan Pemain Terbaik Dunia sebanyak enam kali, Ricardinho akhirnya berupaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-27 menerusi satu serangan balas pantas.

Berpunca daripada kegagalan Suphawut Thueanklang melakukan asakan dan kemudiannya bola berjaya dirampas pemain Portugal membolehkan Erick melepasi kawalan pemain lawan seterusnya meledakkan rembatan untuk gol kedua.

Bagaikan sudah terganggu dengan jaringan tersebut, Thailand seolah-olah sedikit hilang fokus dan disiplin tinggi ketika bertahan yang ditampilkan ketika separuh masa pertama sudah tidak kelihatan.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya skuad kendalian Jorge Braz untuk menambah dua lagi jaringan pada minit ke-30 dan 32 menerusi Zicky dan Pany sekali gus menghadiahkan kemenangan 4-1 buat Portugal.