Perhitungan menarik pastinya dapat disaksikan pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia Futsal 2021 yang akan berlangsung Khamis ini apabila juara bertahan, Argentina bakal membuat perhitungan menentang musuh tradisi, Brazil.

Kemaraan dua gergasi futsal dunia itu bagaimanapun tidak semudah yang disangka selepas Argentina terpaksa menanti sehingga ke penentuan sepakan penalti untuk menumpaskan naib juara edisi 2016, RFU [Russia Football Union] dengan keputusan 5-4.

Leandro Cuzzolino meletakkan Argentina di hadapan pada minit ke-25 hasil sepakan percuma tetapi Artem Antoshkin kembali menyamakan kedudukan berselang 10 minit kemudian untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Usaha kedua-dua negara untuk mendapatkan jaringan kemenangan tidak membuahkan hasil meskipun Argentina yang dibimbing Matias Lucuix menggunakan taktikal ‘powerplay’ pada lewat permainan.

Kredit Foto: AFA – Seleccion Argentina

Ketika penentuan sepakan penalti, penjaga gol gantian Argentina, Lucas Farach muncul wira apabila beliau menafikan sepakan Romulo untuk membawa pasukannya ke separuh akhir.

Manakala, jaringan tunggal menerusi pemain berpengalaman, Rodrigo Araujo pada minit ke-11 menyaksikan Brazil yang merupakan juara lima kali saingan Piala Dunia hanya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Maghribi.

Menguasai sebahagian besar permainan, Brazil sentiasa memberikan ancaman berbahaya ke kubu Maghribi tetapi kekentalan penjaga gol, Redha Khiyari menggagalkan usaha skuad kendalian Xavier Marquinhos itu.

Jaringan menerusi sepakan percuma oleh ketua pasukan berusia 37 tahun itu menjadi bekalan berguna merintis pertemuan menentang Argentina nanti.

Dua lagi slot separuh akhir bakal ditentukan malam ini apabila Iran bakal menghadapi Kazakhstan dan Sepanyol berdepan Portugal.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal seperti dibawah.

Piala Dunia Futsal: Iran Cemas Sebelum Sahkan Kemaraan Ke Suku Akhir

Piala Dunia Futsal: Vietnam Beri Saingan Hebat Sebelum Tewas Kepada RFU

Piala Dunia Futsal: Meninjau Perjalanan Wakil Asia Pada Pusingan 16