Iran terpaksa melalui detik cemas pada pertemuan menentang Uzbekistan malam tadi sebelum berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Piala Dunia Futsal 2021 berikutan kemenangan 9-8 yang dicatatkan di Vilnius Arena.

Jumlah jaringan yang sudah cukup untuk mengatakan bahawa perlawanan melibatkan dua pasukan dari Asia ini antara yang terbaik disajikan pasukan bertanding pada setakat ini.

Dilabel sebagai pasukan pilihan untuk layak ke pusingan seterusnya, Iran jelas mempamerkan kehebatan dengan menjelmakan serangan berbahaya ke kubu Uzbekistan.

Namun, anak buah Bakhodir Akhmedov tidak langsung menghiraukan keadaan tersebut dimana mereka juga memperagakan semangat juang tinggi hingga ke saat terakhir perlawanan.

Kelebihan 3-1 yang dimiliki Iran menerusi jaringan ketua pasukan, Ali Asghar Hasanzadeh, Mahdi Javid serta Saeid Ahmad Abbasi ketika perlawanan memasuki minit ke-16 hanya nampu bertahan selama seminit apabila Uzbekistan berjaya mendapatkan dua jaringan pantas dijelmakan Anaskhon Rakhmatov dan Ikhtiyor Ropiev.

Farhad Tavakoli bagaimanapun kembali meletakkan Iran di hadapan juga pada minit ke-18 untuk kedua-dua pasukan meninggalkan gelanggang untuk rehat separuh masa pertama dengan kedudukan 4-3.

Corak permainan di babak kedua lebih menarik untuk disaksikan dengan Iran menambah dua lagi jaringan sebaik sahaja aksi kembali bersambung hasil jaringan Ahmad Abbasi dan Javid.

Rakhmatov merapatkan jurang pada minit ke-28 tetapi Hasanzadeh tidak menunggu lama untuk sekali lagi meledakkan jaringan buat pemenang tempat ketiga edisi 2016 itu.

Moslem Oladghobad melebarkan penguasaan buat Iran bagi menjadikan kedudukan 8-4 untuk memaksa Uzbekistan meneruskan permainan dengan taktikal ‘powerplay’.

Keputusan yang diambil Akhmedov itu nyata membuahkan hasil dengan dua jaringan dapat dihasilkan Ilhomjom Hamroev dan Khusniddin Nishonov. Namun, sedikit kesilapan menyebabkan Ahmad Abbasi mendapatkan gol kesembilan pada minit ke-37 yang juga merupakan hatriknya pada perlawanan ini.

Ketinggalan tiga gol pada lewat permainan tidak langsung merencatkan semangat juang barisan pemain Uzbekistan yang berterusan memberikan tekanan buat Iran.

Usaha itu nyata tidak disia-siakan apabila Rakhmatov dan Hamroev berupaya menjaringkan gol sekali gus Uzbekistan hanya ketinggalan satu gol sahaja ketika perlawanan berbaki beberapa saat untuk ditamatkan.

Serangan terakhir mereka hampir memberikan jaringan penyamaan selepas penjaga gol Iran, Alireza Samimi dikatakan melakukan kekasaran dalam kawasan D terhadap pemain Uzbekistan ketika aksi berbaki satu saat untuk ditamatkan.

Bagaimanapun, rujukan video sokongan [Video Support] yang diminta kem Uzbekistan tidak membuahkan hasil untuk perlawanan berkesudahan memihak Iran bagi menempah pertemuan suku akhir menentang Kazakhstan.