Skuad muda Vietnam terus mencuri tumpuan dalam saingan Piala Asia bawah 20 tahun (B-20) apabila menewaskan pasukan pilihan, Qatar 2-1 sekaligus berada di kedudukan teratas dalam kumpulan B semalam.

Ini merupakan kemenangan kedua mereka selepas mengejutkan satu lagi pasukan pilihan, Australia 1-0 dan keputusan ini menunjukkan projek pembangunan akar umbi Vietnam mula membuahkan hasil.

Dalam perlawanan itu, Vietnam terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi serangan balas yang disudahkan oleh Nguyen Quoc Viet pada minit ke 45.

Memasuki separuh masa kedua, Qatar mula bangkit lebih garang dan kerap mengasak ke kubu lawan namun barisan pertahanan Vietnam beraksi dengan cukup berdisiplin mengekang beberapa percubaan berbahaya.

Pada minit 84, Qatar akhirnya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Al Rawi tetapi jaringan itu tidak bertahan lama.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh AFC, Qatar memiliki penguasaan bola sebanyak 69% namun ia tidak menjadi masalah buat Vietnam yang menunggu peluang untuk melakukan serangan balas sambil menghukum kelekaan benteng pertahanan lawan.

Percaturan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila mereka memperolehi sepakan percuma pada minit ke 88 dan peluang itu disudahkan dengan tandukan belakang Nguyen Van Truong sekaligus menghasilkan gol kemenangan untuk pasukan Vietnam.

Keputusan itu juga meletakkan Qatar dalam kedudukan tercorot kumpulan B apabila gagal mengutip sebarang mata selepas mengharungi 2 perlawanan. Bagaimanapun, tempat Vietnam ke peringkat suku akhir masih belum disahkan kerana perlu menentang Iran yang kini berada di tangga ketiga dengan tiga mata.

Vietnam hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke suku akhir sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk merebut tiket ke Piala Dunia B-20 2023 buat kali kedua dalam sejarah.

Hanya pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir sahaja layak beraksi di Piala Dunia B-20.

Satu lagi wakil dari Asia Tenggara, Indonesia turut cemerlang mengutip 3 mata apabila menewaskan Syria 1-0. Skuad kendalian Shin Tae-yong itu bakal berdepan tuan rumah, Uzbekistan pada 7 Mac untuk penentuan slot ke suku akhir.