Skuad kebangsaan Vietnam bawah 20 tahun (B-20) lakar kejutan dalam perlawanan pertama kumpulan B Piala Asia B-20 yang berlangsung di Uzbekistan hari ini apabila menewaskan Australia 1-0.

Nguyen Quoc Viet muncul sebagai wira apabila rembatannya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Australia, J. Warshawsky seawal minit ke 6.

Australia cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan skuad muda Vietnam yang beraksi dengan cukup berdisiplin.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menghadiahkan tiga mata pertama untuk Vietnam. Selain Vietnam dan Australia, kumpulan B turut dihuni oleh Qatar dan Iran.

Satu lagi wakil Asia Tenggara yang turut beraksi di Piala Asia B-20 ialah Indonesia namun mereka tewas 0-2 kepada Iraq. Perbezaan fizikal jelas menjadi penghalang kepada skuad kendalian Shin Tae-yong itu untuk beri saingan sepanjang 90 minit.

Skuad garuda muda bermula dengan baik sebelum Iraq memanfaatkan peluang terhidang pada minit ke 28 untuk gol pertama menerusi rembatan Hayder Abdulkareem dalam kotak penalti hasil kesilapan daripada kapten Indonesia, Muhammad Ferarri.

Lebib banyak serangan dilakukan oleh rangkaian serangan Iraq namun penjaga gol muda Indonesia turut beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan 1-0, Iraq berjaya menambah gol kedua di minit akhir perlawanan menerusi tolakan Mohammed Jameel selepas menerima hantaran cantik daripada Abdul Qader di sebelah kiri.

Keputusan tersebut menyaksikan Indonesia kini berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan A. Mereka bakal bertemu Syria pada 4 Mac manakala Vietnam berdepan tugas sukar apabila dijadualkan menentang pasukan pilihan, Qatar pada tarikh yang sama.