Pemain pertahanan skuad kebangsaan Indonesia yang beraksi di England, Elkan Baggott memberikan bayangan bahawa beliau boleh beraksi dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Menurut perkongsian Asean Football di laman media sosial Twitter, Elkan mungkin beraksi dalam saingan edisi 2022 dimana jadual saingan EFL League Two mungkin berubah ekoran temasya Piala Dunia 2022 yang bakal berlangsung pada November hingga Disember hadapan.

“Saya akan beraksi bersama pasukan negara saya sekaligus sebagai salah satu langkah untuk menyegarkan minda. Saya akan kembali sekaligus membawa semangat dan tenaga baharu,” kata Elkan Baggott dipetik dari laporan Bolatimes.

Elkan menjadi salah seorang pemain penting bagi Indonesia ketika mereka mara ke perlawanan akhir pada saingan edisi 2020 yang diadakan pada awal tahun ini dimana beliau juga menjaringkan satu gol ketika skuad Garuda menewaskan Malaysia dengan keputusan 4-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Akan tetapi, Indonesia sekali lagi gagal untuk memburu kejuaraan pertama mereka dimana skuad kendalian Shin Tae-yong tewas kepada Thailand dengan keputusan agregat 6-2 pada perlawanan akhir sekaligus bergelar naib juara buat kali keenam dalam sejarah saingan Piala AFF.

Musim ini, Elkan beraksi bersama kelab divisyen empat liga bola sepak England iaitu Gillingham dimana setakat ini pemain berusia 20 tahun ini telah menjaringkan dua gol dalam saingan EFL League Two.

Bagi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, skuad Garuda diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Filipina, Kemboja dan pemenang aksi play-off antara Timor Leste menentang Brunei.