Pasukan kebangsaan kekal menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agung mereka iaitu Noor Azman Haji Rahman dimana Harimau Malaya juga akan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa.

“FAM secara rasmi mengumumkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri bagi skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon di sepanjang kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bermula 20 Disember 2022.

“Selain itu, Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kemboja pada 9 Disember 2022 sebagai persiapan pasukan juga akan berlangsung di Stadium Nasional.

“Bagaimanapun, satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Maldives pada 14 Disember 2022 akan diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Kami sedia maklum mengenai keadaan padang di Stadium Nasional dan akan mengambil langkah bersama dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam usaha memastikan kualiti padang berada pada tahap memuaskan pada perlawanan-perlawanan yang telah dijadualkan itu nanti.

“Kepada penyokong Harimau Malaya, kami berharap agar aura Stadium Nasional yang ditampilkan ketika Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu akan dapat diteruskan lagi pada perlawanan-perlawanan yang akan datang ini,” kata Noor Azman.

Dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, skuad Harimau Malaya akan berdepan dua pesaing utama, Vietnam dan Singapura dalam kumpulan B. Dua lagi pasukan yang melengkap kumpulan ini ialah Myanmar dan Laos.

Sementara itu Kumpulan A menempatkan juara bertahan Thailand bersama Filipina, Indonesia, Kemboja dan satu lagi pasukan, sama ada Brunei atau Timor-Leste yang akan ditentukan melalui perlawanan play-off. .

Kejohanan AFF edisi 2022 bermula pada 23 Disember, lima hari selepas Piala Dunia FIFA akan datang di Qatar berakhir, memberikan aksi bola sepak berterusan untuk peminat bola sepak Asia Tenggara.