Media Vietnam mengkritik salah seorang pemain bintang negara itu, Nguyen Quang Hai dimana mereka menganggap Quang Hai menampilkan prestasi buruk dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric edisi kali ini.

Menurut perkongsian Main Stand International, media Vietnam menganggap Quang Hai tidak mempunyai sebarang sumbangan bagi pasukan kebangsaan meskipun berstatus pemain yang beraksi di Eropah.

“Dari segi bakat di rantau Asia Tenggara, Nguyen Quang Hai mungkin berada di tempat kedua selepas Chanathip Songkrasin, selepas apa yang ditampilkan oleh pemain itu dalam lima tahun terakhir di bawah bimbingan Park Hang-seo.

“Peminat juga berharap dengann pengalaman pemain itu beraksi di Eropah, Quang Hai dan rakan-rakan boleh membantu Vietnam memenangi trofi Piala AFF sekali lagi.

“Dengan penilaian adil, selama 400 minit beraksi di Piala AFF, persembahan beliau kurang meyakinkan. Selain bantuan gol ketika menentang Malaysia, tiada apa yang boleh dibanggakan.

“Masalah yang dihadapi oleh beliau adalah sejak beraksi di Eropah, Quang Hai gagal untuk melakukan hantaran mudah dan beradaptasi dengan posisi baharu, yang menyebabkan beliau mudah membuat kesilapan,” dipetik dari laporan Vietnam Net.

Quang Hai baru-baru ini menjadi pemain Vietnam pertama yang menjaringkan gol dalam saingan Liga Perancis pada Oktober tahun lalu.

Beliau yang beraksi bersama Pau FC diturunkan pada minit ke-78 bagi menggantikan penyerang utama, Pape Ibnou Ba ketika pasukan itu ketinggalan 1-2 menentang Rodez AF hasil jaringan Andy Pembele (min 50) dan Nasim Ouammou (min 67).

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Quang Hai yang muncul sebagai hero apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 86 sekaligus menyelamatkan Pau FC daripada mengalami kekalahan di tempat sendiri.

Quang Hai yang menyertai Pau daripada Hanoi FC dengan kontrak selama dua tahun dengan pilihan untuk melanjutkan untuk tempoh setahun lagi.