Bintang bola sepak ASEAN, Nguyen Quang Hai cipta sejarah baharu apabila menjadi pemain pertama Vietnam yang menjaringkan gol dalam saingan liga divisyen 2 Perancis, Ligue 2.

Beliau yang beraksi bersama Pau FC diturunkan pada minit ke 78 bagi menggantikan penyerang utama, Pape Ibnou Ba ketika pasukan itu ketinggalan 1-2 menentang Rodez AF hasil jaringan Andy Pembele (min 50) dan Nasim Ouammou (min 67).

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Quang Hai yang muncul sebagai hero apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 86 sekaligus menyelamatkan Pau FC daripada mengalami kekalahan di tempat sendiri.

Jaringan tersebut turut menjadi bualan dalam kalangan media Perancis dan memberi gelaran ‘Messi Vietnam’ kepada Quang Hai.

https://twitter.com/MetaverzSport/status/1578903658984792064?s=20&t=YeXALo3P8lPUagndHMdbcQ

Pau FC ketika ini menghuni di tangga ke 16 daripada 20 pasukan dengan 11 mata selepas mengharungi 11 perlawanan Ligue 2.

Quang Hai yang menyertai Pau FC dengan kontrak selama kontrak dua tahun dengan pilihan untuk melanjutkan untuk tempoh setahun lagi turut menjadi pemain pertama dari Vietnam yang jaringkan gol di eropah.

Ini merupakan satu permulaan yang baik bagi pemain berusia 24 tahun itu dimana beliau dijangka akan mendapat kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan yang akan datang.

Sebelum ini, ketua jurulatih Pau FC, Didier Tholot tidak mahu Quang Hai berasa tertekan dan pemain itu perlu lebih bersabar dalam usaha untuk mendapat minit permainan kerana beliau perlu bersaing dengan pemain lain.

“Tidak realistik untuk mengharapkan Quang Hai mempamerkan prestasi hebat dan mencapai kecemerlangan pada tahun pertamanya di Pau.

“Dia baru sahaja menyertai kelab ini dan perlu belajar banyak perkara baharu. Quang Hai juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan dia berada di sini.

Malah, sejak kehadiran Quang Hai, jumlah pengikut media sosial rasmi kelab tersebut naik mendadak selepas diumumkan sebagai pemain mereka. Jumlah pengikut facebook Pau FC pada awalnya hanya 26,000 meningkat kepada lebih 66,000 selepas hanya 2 hari pengumuman tersebut.

Malah, jumlahnya masih lagi meningkat sehingga hari ini dan Pau FC kini mempunyai lebih 200,000 pengikut di laman facebook rasmi.