Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengesahkan telah menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berhubung mutu pengadilan ketika perlawanan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, menentang Vietnam di Stadium My Dinh.

Tindakan tersebut dibuat selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram yang telah berbincang dan meneliti klip video beberapa insiden di sepanjang perlawanan tersebut.

“Susulan itu, surat rasmi yang menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan telah pun dihantar ke Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu,” kata kenyataan rasmi Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.

Aksi di Hanoi itu menyaksikan anak buah Park Hang Seo merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Malaysia, sekali gus merampas kedudukan teratas Kumpulan B, berkongsi enam mata bersama Harimau Malaya dan Singapura.

Perlawanan itu cukup kontroversi apabila pengadil utama, Ryuji Sato dikatakan membuat beberapa keputusan tak masuk akal. Apa tidaknya, pengadil berkenaan menghadiahkan sepakan penalti yang menyebabkan skuad kendalian Kim Pan-gon ketinggalan 0-2 pada minit 64.

Bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh turut menjelaskan insiden yang berlaku dalam satu temu bual bersama Astro Arena. 

Selepas ini, Malaysia dijadualkan menentang Singapura pada 3 Januari 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan terakhir kumpulan B.

Jika Vietnam berjaya menewaskan Singapura, Malaysia wajib menang dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 3 Januari 2023 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.