Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia apabila gagal membawa pulang 3 mata selepas tewas 0-3 kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Beliau juga telah belajar sesuai daripada perlawanan itu dan enggan mengulas mengenai mutu pengadilan yang dipertikaikan oleh beberapa pihak.

“Tahniah kepada Vietnam. Saya mohon maaf kepada penyokong Malaysia, kami gagal buatkan mereka bangga. Tetapi para pemain sudah melakukan yang terbaik.

“Di separuh masa pertama, pemain melakukan kesilapan di sepakan sudut. Saya tidak pasti apa yang terjadi. Saya perlu tengok balik video rakaman dan melakukan analisis.

“Pasukan akan kenalpasti setiap kelemahan yang ada. Kami akan perbaikinya sebelum hadapi perlawanan seterusnya. Kami dapat satu pengajaran yang berguna dan akan memperbetulkan kelemahan yang ada,” jelas Pan Gon.

Kemenangan Vietnam menyaksikan mereka merampas kedudukan teratas Kumpulan B, berkongsi enam mata bersama Harimau Malaya dan Singapura.

Mengulas mengenai keputusan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan, Azam Azmi Murad sehingga Vietnam diberikan sepakan penalti, Kim Pan Gon tidak faham apa yang telah terjadi tanpa melihat rakaman video.

“Susah untuk saya buat penilaian. Saya perlu melihat dahulu rakaman video untuk mendapatkan gambaran sebenar. Selepas pulang, kami akan belajar daripada kesilapan.

“Saya harap pemain bangkit dalam perlawanan seterusnya. Kalau ada silap, kita akan perbaikinya,” ujarnya.

Malaysia dijadualkan menentang Singapura pada 3 Januari 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Hanya kemenangan akan memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik negara.

“Kami perlu bersedia sepenuhnya dalam perlawanan menentang Singapura. Seluruh pasukan dalan lakukan sesi pemulihan untuk pastikan setiap pemain berada dalam keadaan terbaik,” tegas Pan Gon.