Puluhan ribu penyokong bola sepak tempatan dijangka akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada hari sabtu ini untuk menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 diantara Malaysia menentang Laos.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman mengesahkan sekurang-kurangnya 15,000 keping tiket sudah pun terjual dan ibarat ‘pisang goreng panas’ dengan penyokong berlumba-lumba membelinya secara online.

Penurunan harga tiket terbuka daripada RM50 kepada RM30 turut membuatkan para penyokong tidak sabar untuk hadir ke stadium memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.

“Dengan penurunan harga tiket sebanyak dua kali selepas Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) memahami denyut nadi penyokong dan mendengar pelbagai pandangan, kita juga ucapkan terima kasih kepada penyokong yang memberi semangat.

“Jadi kita harap sokongan pemain dapat diteruskan pada aksi berdepan Laos ini. Setakat hari ini (kelmarin), lebih kurang 12,000 ke 15,000 tiket sudah terjual,” katanya kepada Arena Metro.

Jualan tiket tersebut dijangka bertambah laju selepas skuad kendalian Kim Pan-gon itu mencatat kemenangan 1-0 ke atas Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon malam tadi.

Tiket Piala AFF

Para peminat masih boleh mendapatkan tiket tersebut menerusi laman web TicketHotline. Sokongan padu daripada peminat akan membantu skuad Harimau Malaya mengutip 3 mata sekaligus mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Selepas bertemu Laos, mereka akan terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.

Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan 4 bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.