Jaringan tunggal dihasilkan oleh Muhammad Faisal Abdul Halim menceriakan kem Malaysia selepas berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas Myanmar pada aksi sulung Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung di Stadium Thuwunna, Yangon sebentar tadi.

Kemenangan yang bukanlah diraih dengan begitu mudah itu memberikan gambaran jelas masih banyak kelonggaran perlu diperbaiki pengendali pasukan, Kim Pan-gon.

Ia jelas dibuktikan apabila tuan rumah kelihatan lebih banyak menguasai permainan dan beberapa kali cuba mengancam kubu skuad negara yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi.

Bagaimanapun, penyudah tumpul Lwin Moe Aung dan Hein Htet Aung menggagalkan usaha hebat pada awal permainan ditampilkan anak buah Antoine John Paul Hey itu.

Skuad negara pula jelas berdepan masalah bagi menjelmakan serangan berbahaya apabila jentera tengah yang diketuai Brendan Gan dan Stuart Wilkin kelihatan bergelut untuk menguasai bahagian tengah.

Namun begitu, Faisal Halim berpeluang untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-23 tetapi percubaan susulan gerakan solonya dalam kawasan penalti sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Myanmar.

Faisal akhirnya menemui sentuhan jaringan ketika permainan memasuki minit ke-52 apabila beliau menyudahkan peluang terhidang ketika berhadapan dengan penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Phyo selepas menerima lorongan cantik daripada Safawi Rasid untuk meletakkan Malaysia dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Myanmar tampil dengan lebih garang untuk kembali mengikat permainan dimana situasi pada minit ke-94 menjadi peluang keemasan buat mereka.

Bagaimanapun, Ahmad Syihan cemerlang menafikan sepakan penalti yang diambil Win Naing Tun ekoran kekasaran Sharul Nazeem Zulpakar dalam kawasan penalti.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad negara. Kemenangan yang meningkatkan moral para pemain menjelang aksi kedua bertemu Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.