Malaysia terus berdepan masalah apabila berdepan dengan Vietnam apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tewas 0-3 pada aksi ketiga kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020 yang berlangsung di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Kekecewaan itu juga merupakan kekalahan keempat berturut-turut dialami skuad negara berhadapan dengan pasukan terbaik di Asia Tenggara (ASEAN) itu sejak 15 Disember 2018.

Vietnam yang turut beraksi di pentas pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2022 nyata berada di kelas tersendiri sehingga membuatkan barisan pemain negara bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.

Malaysia juga terpaksa kehilangan dua tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Mohd Saad masing-masing pada setiap babak akibat kecederaan.

Jaringan yang dinantikan kem Vietnam hadir pada minit ke-32 apabila Nguyen Quang Hai menyempurnakan peluang di dalam kawasan penalti dengan meledakkan rembatan dalam  susulan hantaran ‘cutback’ Nguyen Tuan Anh.

Malaysia memiliki peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan berselang seminit kemudian tetapi kegopohan Luqman Hakim Shamsudin menggagalkan peluang skuad negara untuk mengambil kesempatan berikutan kesilapan tandukan ke belakang daripada pemain tengah Vietnam.

Vietnam tidak menunggu lama untuk melebarkan kedudukan apabila Nguyen Cong Phoung melakukan larian yang memperdayakan pertahanan dalam kawasan penalti sekali gus rembatan rendahnya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-36

Skuad negara terus hampa pada masa kecederaan babak pertama selepas percubaan jarak dekat Syafiq Ahmad selepas menerima hantaran cantik daripada Baddrol Bakhtiar dinafikan dengan baik penjaga gol, Tran Nguyen Manh.

Memasuki babak kedua, pemain negara sesekali cuba untuk melancarkan serangan ke kubu Vietnam tetapi ia masih tidak mampu untuk merapatkan jurang.

Sebaliknya, Nguyen Hoang Duc mengambil kesempatan yang dimiliki pada minit ke-89 apabila gerakan solonya disudahkan dengan baik untuk memastikan Vietnam mencatatkan kemenangan selesa 3-0.

Kemenangan tersebut melonjakkan skuad kendalian Park Hang-seo di tangga teratas dengan enam mata, berkongsi mata bersama Indonesia dan Malaysia tetapi juara edisi 2018 itu memiliki kelebihan jaringan.