Myanmar segera melupakan kekalahan aksi sulung tempoh hari apabila berjaya menundukkan Timor Leste 2-0 pada perlawanan kumpulan A Piala AFF Suzuki 2020 yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Kemenangan tersebut hadir menerusi jaringan pada setiap babak yang dihasilkan Tan Phaing dan ketua pasukan, Maung Maung Lwin bagi memastikan tiga mata penuh berjaya diraih skuad kendalian Antoine Hey itu.

Pemain tengah, Hlaing Bo Bo hampir meletakkan Myanmar di hadapan pada minit ke-13 selepas beliau melakukan rembatan dalam kawasan penalti tetapi percubaannya dinafikan penjaga gol, Junildo Manuel de Castro Pereira.

Kehampaan itu ditebus seminit kemudian setelah Tan Phaing menanduk masuk bola yang berpunca daripada kegagalan Nelson Sarmento Viegas mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Kredit Foto: AFF Suzuki Cup

David Htan terlepas peluang untuk melebarkan kedudukan setelah rembatan dari jarak jauh diledakkannya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Timor Leste.

Timor Leste yang sesekali mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Myanmar memperolehi peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-36.

Namun, percubaan Paulo Dominos Gali ketika beliau menerima lorongan cantik daripada Jhon Frith Oliveira dinafikan penjaga gol Myanmar, Myo Min Latt.

Maung Lwin menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-50 apabila pemain yang boleh diibaratkan sebagai nadi kepada kekuatan Myanmar mudah menolak masuk bola selepas menerima umpanan daripada Hein Htet Aung.

Usaha kedua-dua pasukan untuk mengubah kedudukan perlawanan tidak membuahkan hasil untuk memastikan kemenangan sulung buat Myanmar.