Singapura memulakan kempen Kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 dengan bergaya apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan Myanmar 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri jelas meningkatkan moral anak buah Tatsuma Yoshida yang beraksi dengan baik walaupun Myanmar turut menjelmakan semangat juang tinggi berikutan kehilangan 14 orang pemain disebabkan wabak COVID-19.

Myanmar bermula baik dengan melancarkan serangan berbahaya tetapi rembatan Suan Lam Mang dinafikan penjaga gol berpengalaman Singapura, Hassan Sunny pada minit keenam.

Pasukan tuan rumah selepas itu bangkit untuk meningkatkan momentum permainan dan hampir mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-14.

Keadaan itu berpunca daripada lorongan cantik Song Ui-young yang mencari Faris Ramli untuk membolehkan bekas pemain import PKNS FC dan Terengganu itu hanya berhadapan dengan penjaga gol, Myo Min Latt.

Min Latt bagaimanapun cemerlang dalam menghalang pergerakan Faris dan kemudiannya menangkap kemas percubaan susulan untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Penyokong Singapura melonjak kegembiraan pada minit ke-34 apabila Safuwan Baharuddin menanduk masuk bola ketika situasi sepakan penjuru yang diambil Shahdan Sulaiman bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Jaringan tersebut nyata meningkatkan moral para pemain Singapura yang menambah jaringan kedua berselang lima minit kemudian menerusi Ikhsan Fandi.

Berpunca daripada serangan balas pantas dimulakan Song telah memberikan ruang buat Faris Ramli untuk melorongkan bola kepada Ikhsan yang sekali gus melepasi kawalan Nyein Chan dan meledakkan rembatan dari sudut sukar untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Ikhsan menambah satu lagi jaringan pada masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan setelah menerima hantaran Shahdan yang kemudiannya terus menerjah gawang Myanmar.

Anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad itu hampir melengkapkan hatrik pada minit ke-57 tetapi tandukannya hasil umpanan abangnya, Irfan Fandi dibatalkan selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Myanmar turut mendapat peluang terbaik untuk merapatkan defisit jaringan namun Hassan Sunny kental bertahan untuk menafikan rembatan daripada Lwin Moe Aung dan Lam Mang.

Tiga jaringan pada babak pertama itu sudah cukup untuk meletakkan Singapura di tangga teratas kumpulan A dengan kelebihan jaringan berbanding juara lima kali, Thailand yang berada di tempat kedua.