Vietnam bakal dapat sentuhan dari eropah apabila jurulatih dari Perancis, Phillippe Troussier dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF) untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.

Memetik laporan daripada VnExpress, Troussier dan VFF telah mencapai persetujuan bersama bulan lalu namun VFF masih belum mengumumkan secara rasmi bagi menghormati Park Hang Seo yang tidak melanjutkan kontraknya selepas tamat saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Troussier satu-satunya calon yang berada dalam radar VFF kerana mempunyai pengalaman melatih skuad Vietnam bawah 19 tahun (B-19) pada tahun 2019 hingga 2021 selain menjadi Pengarah Teknikal bola sepak Vietnam. Beliau juga cukup memahami budaya bola sepak negara tersebut.

Bagaimanapun, VFF sedang mencari penaja untuk membayar jumlah gaji yang diminta oleh Troussier bersama pembantunya. Sebelum ini, pembayaran gaji Park Hang Seo bukannya datang dari kantung VFF sendiri.

2 tahun pertama Park Hang Seo bersama skuad Vietnam, keseluruhan gaji beliau dibayar oleh Naib Presiden VFF – Bau Duc, secara peribadi sehingga lanjutan kontrak 3 tahun terkini dipersetujui.

Pembayaran gaji sebulan itu ditaja oleh beberapa syarikat swasta yang menjadi rakan rasmi kepada VFF. Dengan itu, VFF tidak berdepan dengan sebarang ‘kesukaran’ berkaitan gaji Park Hang-seo yang tinggi itu.

Pada tahun 2014, Troussier pernah dicalonkan untuk menjadi ketua jurulatih Malaysia bagi menggantikan tempat Datuk Rajagobal. Beliau dikatakan menuntut gaji bulanan lebih RM416,000 iaitu angka yang dianggap cukup besar dan tidak mampu dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jurulatih yang berusia 67 tahun itu turut mempunyai pengalaman dalam bola sepak Afrika dan memajukan pasukan kebangsaan Nigeria, Afrika Selatan dan Burkina Faso sehingga digelar White Witch Doctor.

Malah, beliau juga pernah membimbing skuad kebangsaan Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 buat kali pertama dalam sejarah setelah dua tahun sebelumnya melatih mereka untuk menjuarai Piala Asia 2000.