Skuad negara gagal meneruskan nota kemenangan pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) apabila tunduk 1-2 di tangan Singapura di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Penyerang berbisa, Ikhsan Fandi nyata menjadi duri dalam daging buat skuad negara selepas anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad itu menjaringkan kedua-dua gol mereka.

Anak buah Kim Pan Gon bagaimanapun memulakan permainan dengan cukup garang apabila mendapat peluang keemasan untuk mengejutkan penyokong tuan rumah seawal minit pertama menerusi Safiq Rahim.

Namun, percubaan ‘outside foot’ pemain tengah berpengalaman itu selepas menerima lorongan daripada Syafiq Ahmad dalam kawasan penalti sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Singapura.

Berselang lima minit kemudian, giliran Safawi Rasid pula menguji gawang Singapura yang dikawal Hassan Sunny tetapi rembatan jarak jauh hasil gerakan ‘satu-dua’ bersama Syafiq turut tersasar.

Skuad negara yang lebih banyak mendominasi permainan terus bernafsu untuk memburu jaringan. Bagaimanapun, Hassan Sunny terus kental bertahan dalam menafikan percubaan dilakukan Safiq pada minit ke-20.

Ketika para pemain skuad negara begitu bersemangat memberikan tekanan, Singapura tanpa disangka-sangka berjaya mendapatkan jaringan pembukaan pada minit ke-30.

Jaringan tersebut berpunca daripada serangan balas pantas yang membolehkan Song Uiyong melakukan hantaran silang bagi memudahkan Ikhsan Fandi menolak masuk bola untuk meletakkan Singapura di hadapan.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara memperkemaskan aksi untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi masih tidak mampu untuk meruntuhkan kekebalan jentera pertahanan Singapura sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia terlepas peluang untuk mengikat kedudukan selepas sepakan penalti yang diambil Safawi Rasid sekadar singgah di palang gol pada minit ke-48 meskipun beliau sudah berjaya memperdayakan Hassan.

Jaringan yang dinantikan skuad negara akhirnya menjelma pada minit ke-57 apabila pemain gantian, Liridon Krasniqi dengan tenang menyempurnakan peluang terhidang di dalam kawasan penalti selepas menerima lorongan baik daripada Akhyar Rashid.

Ikhsan Fandi membuktikan kemampuan hebat dimilikinya selepas beliau bijak melepasi kawalan tiga pertahanan negara menuju ke dalam kawasan penalti yang kemudiannya meledakkan rembatan sekali gus menewaskan Farizal Marlis bagi sekali lagi memisahkan kedudukan.

Skuad negara selepas itu diperkuatkan dengan kemasukan Arif Aiman Mohd Hanapi dan Luqman Hakim Shamsudin tetapi usaha yang dilancarkan masih belum mampu untuk menghalang kemenangan skuad kendalian Nazri Nasir tersebut.