Permulaan positif dilakarkan skuad Harimau Malaya yang kini dibimbing Kim Pan Gon apabila berjaya menundukkan Filipina 2-0 pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) di Stadium Nasional Singapura, sebentar tadi.

Keupayaan menewaskan pasukan di ranking ke-129 dunia itu bukan sahaja meningkatkan moral barisan pemain negara, malah ia turut menamatkan penantian 15 tahun skuad Harimau Malaya untuk menewaskan lawan tersebut.

Selain daripada Safiq Rahim yang kembali ditugaskan mengepalai jentera tengah, Dion Cools pula diletakkan di bek kanan. Posisi yang dilihat lebih dominan buat pemain kacukan ini.

Kesebelasan utama skuad negara. Kredit Foto: FAM

Akhyar Rashid membuktikan minit permainan yang kurang di peringkat domestik tidak langsung mengganggu prestasinya apabila beliau berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga permainan.

Gol pantas tersebut berpunca daripada lorongan cantik dilakukan Corbin-Ong ke dalam kawasan penalti yang membolehkan Akhyar memperdayakan Enrique Linares dan kemudiannya beliau melakukan rembatan yang sekali gus menewaskan penjaga gol, Neil Etheridge.

Nafsu pemain negara untuk menambah jaringan semakin meningkat berselang dua minit kemudian apabila mendapat dua percubaan berturut-turut dalam kawasan penalti.

Namun, rembatan Syafiq Ahmad selepas menerima lorongan cantik daripada Cools sekadar singgah di tiang gol ketika Etheridge sudah pun tertewas, manakala percubaan susulan R. Kogileswaran pula diselamatkan pertahanan lawan diatas garisan gol.

Kem skuad negara sekali lagi melonjak kegembiraan pada minit ke-24 setelah Akhyar menyempurnakan peluang terhidang berikutan serangan balas pantas dimulakan Safiq Rahim untuk pemain berusia 23 tahun itu melebarkan kedudukan.

Akhyar hampir melengkapkan hatrik pada lewat aksi babak pertama tetapi percubaannya ketika beliau sudah mengawal bola dengan baik dalam kawasan penalti tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Akhyar Rashid bertindak cemerlang dengan dua jaringan dihasilkannya. Kredit Foto: FAM

Di samping aksi meyakinkan jentera serangan pada separuh masa pertama, barisan pertahanan yang diketuai Shahrul Mohd Saad dan Khuzaimi Piee juga kelihatan kental dalam menyerap asakan Filipina.

Walaupun aksi di babak kedua tidak begitu disenangi para peminat terutamanya buat skuad negara berikutan kemasukan Liridon Krasniqi yang menggantikan Safiq Rahim tetapi kedua-dua pasukan dilihat berusaha keras untuk mengubah kedudukan.

Ia jelas disaksikan apabila rembatan Arif Aiman Hanapi dalam kawasan penalti ditepis keluar Etheridge. Manakala, Patrick Reichelt pula mendapat peluang terbaik susulan kealpaan Syamer Kutty Abba, namun rembatan dilakukan bekas pemain import Melaka United itu dinafikan Farizal Marlias.

Dua jaringan Akhyar Rashid pada babak pertama itu kekal untuk menghadiahkan kemenangan bermakna buat skuad negara sekali gus menjadi tonik berguna menjelang aksi seterusnya menentang Singapura.