Jaringan Muhammad Akhyar Abdul Rashid sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 buat Malaysia ke atas Turkmenistan pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan skuad Harimau Malaya yang turut menewaskan lawan sama 3-1 ketika Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun lalu.

Kim Pan-gon dilihat membariskan kembali pemain utama Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti Matthew Davies dan Lavere Corbin-Ong manakala Endrick Dos Santos, Paulo Josue dan Akhyar Rashid turut diletakkan sebagai pemain kesebelasan utama.

Turkmenistan yang berada di tangga ke-135 ranking dunia tampil garang dengan dua percubaan berbahaya pada awal 15 minit perlawanan.

Bagaimanapun, rembatan daripada luar kawasan penalti seawal minit kedua oleh Resul Hojayev hanya sedikit tersasar di sebelah kiri manakala rembatan Ruslan Mingazov pula dinafikan oleh Ahmad Syihan Hazmi pada minit ke-15.

Tersentak dengan dua percubaan tersebut, Malaysia tampil dengan lebih baik sekali gus mendapat beberapa peluang untuk membuka tirai jaringan.

Ia bermula dengan tandukan Paulo Josue selepas menerima hantaran menerusi sepakan penjuru tetapi diselamatkan oleh penjaga gol pelawat, Rasul Charyev.

Kemudiannya, Charyev bertindak cemerlang dalam menafikan sepakan percuma yang diambil ketua pasukan negara, Dion Cools ketika permainan memasuki minit ke-26.

Penyokong negara melonjak kegembiraan berselang dua minit kemudian apabila hantaran lolos dilakukan Corbin-Ong disudahkan dengan tenang Akhyar Rashid dengan satu ‘placing’ yang menewaskan Charyev.

Charyev jelas menjadi pemain yang paling sibuk di atas padang setelah Malaysia hadir dengan beberapa lagi siri serangan dilancarkan.

Ia dibuktikan apabila Charyev terpaksa bekerja keras untuk menafikan dua percubaan pantas daripada Akhyar dan Faisal Abdul Halim untuk menghalang gawangnya daripada terus dibolosi pada minit ke-35.

Memasuki separuh masa kedua, Turkmenistan yang dibimbing Mergen Drazov menguji gawang skuad negara seawal minit ke-46 tetapi tandukan daripada Didar Durdyev ditangkap kemas Ahmad Syihan.

Dua minit kemudian, giliran Akhyar pula memberikan ancaman ke kubu lawan menerusi satu percubaan akrobatik yang menarik dilakukannya. Namun, Charyev masih kental bertahan untuk menyelamatkan keadaan.

Beliau juga bertindak cemerlang dalam menggagalkan dua percubaan pantas oleh Faisal Halim pada minit ke-72 untuk terus menghampakan pemain lincah tersebut.

Babak kedua juga menyaksikan Ahmad Syihan kental bertahan dalam menghalang pintu golnya daripada dibolosi jentera serangan Turkmenistan.

Usaha keras kedua-dua pasukan terutamanya menerusi Turkmenistan pada lewat permainan untuk mengubah kedudukan perlawanan tidak membuahkan hasil sekali gus memastikan kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan bagi menghadiahkan kemenangan berharga buat skuad negara.