Skuad Harimau Malaysa memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan langkah kemenangan selepas berjaya menundukkan Turkmenistan 3-1 pada aksi Kumpulan E yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Mendapat sokongan puluhan ribu penyokong setia yang pastinya menagih kemenangan, anak buah Kim Pan-gon tampil dengan begitu garang terutamanya pada awal permainan.

Dominasi yang dipamerkan nyata membuahkan hasil apabila skuad negara berjaya mendapatkan jaringan pembukaan pada minit ke-11 menerusi Safawi Rasid.

Berpunca daripada hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi yang dihalang penjaga gol, Orazmuhammedov Mammet telah memberikan ruang kepada Safawi dengan tenang menolak masuk bola bagi meletakkan skuad negara di hadapan.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral barisan pemain negara untuk menambah jaringan dan hampir melakukannya pada minit ke-15 tetapi Darren Lok gagal menguis masuk bola hasil hantaran lintang cantik daripada Matthew Davies.

Kehampaan itu ditebus Muhammad Faisal Abdul Halim berselang seminit kemudian apabila pemain lincah tersebut menyempurnakan peluang dengan merembat masuk bola dalam kawasan penalti, bermula daripada usaha Arif Aiman yang berjaya merampas bola dari kaki pertahanan lawan.

Tekanan tinggi yang dijelmakan jelas menjadi masalah buat pasukan lawan dan Matthew Davies hampir menambah jaringan ketiga. Namun, percubaannya dari jarak jauh hanya sedikit melewati palang gol.

Kredit Foto: FAM

Tidak mahu terus ditekan, skuad kendalian Hojageldiyev Yazguly memperkemaskan aksi untuk mendapatkan penguasaan permainan sehingga membolehkan mereka mendapat peluang pertama pada minit ke-23.

Bagaimanapun, tandukan dalam kawasan penalti dilakukan Annadurdyyev Altymyrat selepas menerima hantaran jauh Rejebov Abdy mudah ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias.

Memasuki minit ke-38, Turkmenistan merapatkan defisit jaringan apabila Annadurdyyev Altymyrat mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol skuad negara susulan tandukan ke belakang dilakukan Dion Cools terkena palang dan tidak dapat dikawal baik Farizal.

Ketika para pemain sudah berkira-kira untuk melangkah keluar ke bilik persalinan, Corbin-Ong melakukan gerakan solo dari kawasan sendiri dan kemudiannya melepaskan rembatan yang tidak mampu dihalang Orazmuhammedov bagi menjadikan kedudukan 3-1.

Permainan pada babak kedua menyaksikan giliran Turkmenistan pula lebih banyak mengawal permainan dan memberikan tekanan hebat ke kubu skuad negara.

Antara peluang terbaik dimiliki Turkmenistan ialah sepakan percuma cantik yang diambil pemain gantian, Nurmyradov Selim tepat menuju pintu gol skuad negara tetapi Farizal cemerlang dalam menafikan percubaan tersebut pada minit ke-67.

Barisan pemain pertahanan skuad negara yang diketuai Dion Cools dan Shahrul Mohd Saad bersama Farizal kental bertahan untuk menyerap asakan diberikan Turkmenistan sekali gus keputusan 3-1 itu kekal hingga tamat permainan.

Dengan kemenangan diraih keatas pasukan di ranking ke-134 dunia itu, skuad negara kini berada di tangga teratas selepas memiliki kelebihan jaringan berbanding Bahrain yang turut mencatatkan kemenangan pada aksi pembukaan bertemu Bangladesh, petang tadi.

Saksikan sorotan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Turkmenistan di YouTube Vocket atau Facebook Vocket FC