Perak mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dua jaringan untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas UiTM FC pada aksi ketujuh kempen Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Masih dibelenggu isu pembayaran gaji seperti yang tular di media sosial pada ketika ini, para pemain Perak tidak menjadikan ia sebagai penghalang untuk beraksi baik.

Ia jelas dibuktikan setelah skuad bimbingan Chong Yee Fatt itu mendominasi permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

Beberapa peluang terbaik dimiliki skuad Perak bagaimanapun dinafikan ketangkasan penjaga gol UiTM FC, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri yang kental menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Dalam keghairahan Perak melancarkan asakan, pasukan pelawat yang sesekali mengancam menerusi serangan balas pantas berjaya memperoleh sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham terhadap Nana Poku.

Penyerang kelahiran Ghana itu tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan bagi meletakan UiTM di hadapan pada minit ke-20.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-40, Nana Poku terus mengukuhkan kedudukan apabila beliau melepasi perangkap ofsaid dan sekali gus menewaskan penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Tidak mahu terus tertekan dengan keputusan tersebut, Perak berjaya merapatkan defisit jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama setelah Raianderson Da Costa Morais (Careca) menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti.

Memasuki babak kedua, Perak terus menggandakan asakan dengan menjelmakan beberapa serangan berbahaya dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-69.

Jaringan tersebut terhasil menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Guilherme De Paula selepas rakan senegaranya, Leandro Dos Santos dikasari Muhammad Faizal Mohd Arif.

Mendapat tonik cukup berguna susulan jaringan tersebut, Careca muncul wira skuad Yob apabila percubaan rendah dilakukannya dalam kawasan penalti gagal ditangkap kemas Azfar Arif lalu bola bergolek masuk ke dalam pintu gol untuk menghadiahkan kemenangan kedua buat Perak pada musim ini.

Dengan kemenangan tersebut, Perak menduduki tangga kelapan dengan lapan mata manakala UiTM FC pula masih terdampar di dasar liga selepas hanya mengumpul satu mata.