Ketua jurulatih Kelab Bolasepak Perak (Perak FC), Chong Yee Fatt masih gembira dengan aksi yang ditampilkan barisan pemainnya meskipun gagal mencatatkan kemenangan pada perlawanan sulung Liga Super 2021 bertemu Petaling Jaya (PJ) City FC, Ahad lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh itu menyaksikan Perak gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang terutamanya pada separuh kedua berikutan kecemerlangan penjaga gol pelawat, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Namun, Yee Fatt mendedahkan beliau tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dengan melihatkan kekangan yang dihadapi Perak sebelum sepak mula Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengenalpasti kelemahan yang ketara dipamerkan barisan pemain Perak pada aksi bertemu PJ City.

“Sejujurnya kami tidak menikmati persiapan yang baik sebelum aksi liga bermula. Kami hanya bermain satu perlawanan persahabatan iaitu menentang Penang FC.”

“Tempoh masa saya bersama pasukan juga begitu singkat tetapi mereka menjalankan tugas dengan cukup baik,” ujar Yee Fatt menurut laporan dikeluarkan The Star.

“Pemain saya tidak cukup klinikal di hadapan pintu gol lawan. Mereka bermain selamat pada separuh masa pertama untuk menilai keupayaan PJ City. Kemudiannya mereka beraksi dengan lebih baik pada babak kedua dengan mencipta banyak peluang tetapi tidak mampu menyempurnakannya.”

“Sayang sekali kami tidak berjaya mendapatkan tiga mata pertama. PJ City beraksi dengan baik. Tiada pasukan yang lemah dalam saingan liga ini. Sama ada mereka bergantung harap kepada pemain import atau hanya tenaga tempatan, mereka mampu untuk melakukan kejutan terhadap mana-mana pasukan,” tambah Chong Yee Fatt lagi.

Dalam perkembangan lain mengenai pasukan Perak yang akan berhadapan dengan Sri Pahang FC malam esok, Yee Fat mendedahkan tiada pemain yang mengalami kecederaan dan memberikan gambaran akan melakukan beberapa perubahan bagi memantapkan kesebelasan utamanya.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Pirlo: “Ronaldo Sudah Tak Sabar Jumpa Porto”

Sultan Johor Kurnia RM30 Juta Kepada Yayasan JDT

Statistik Ringkas Aksi Minggu Pertama Liga Super 2021

Sumber