Kelab Bola Sepak Perak (PFC) kemungkinan bakal berdepan hukuman berat daripada Jawatankuasa Tatatertib sekiranya didapati gagal menyediakan tahap kawalan keselamatan yang optima.

Kelmarin tular video kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan ‘casual’ antara penyokong Perak dengan penyokong Selangor ketika aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Pergaduhan itu berlaku di kawasan tempat duduk dimana kelibat sekumpulan penyokong tuan rumah menyerbu ke arah kawasan penyokong Selangor.

Pihak polis juga kelihatan bergelut untuk meleraikan pergaduhan itu sekaligus berlaku aksi tumbuk-menumbuk di antara dua penyokong tersebut.

Mengulas mengenai insiden itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan rasmi daripada komisioner perlawanan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

“Kini kita akan menunggu laporan dan menyerahkannya kepada Tatatertib FAM untuk menyiasat lebih lanjut dan mengambil tindakan yang perlu,” kata Stuart dipetik dalam Arena Metro.

Antara hukuman yang bakal menanti Perak adalah denda atau beraksi tanpa penyokong untuk beberapa perlawanan Liga Malaysia di halaman sendiri.

Ini bukan kali pertama insiden pergaduhan melibatkan golongan ‘casual’ berlaku dalam Liga Malaysia kerana sebelum ini juga terdapat kejadian yang sama di Stadium Kota Bharu dan Stadium Kuala Lumpur Cheras.

Sudah tentu ia menjatuhkan imej bola sepak Malaysia dan menyebabkan pasukan terpaksa menanggung beban hukuman berat daripada Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perlawanan tersebut menyaksikan Selangor mencatat kemenangan 4-0 hasil dua jaringan penyerang import, Ayron Del Valle, Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal.

Keputusan itu bermakna Selangor kekal di tangga kedua Liga Super dengan 25 mata terikat dengan Sri Pahang namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.