Tular video kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan ‘casual’ antara penyokong Perak dengan penyokong Selangor ketika aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Menerusi rakaman video yang dikongsi oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pergaduhan itu dipercayai berlaku di kawasan tempat duduk dimana kelibat sekumpulan penyokong tuan rumah menyerbu ke arah kawasan penyokong Selangor.

Pihak polis juga kelihatan bergelut untuk meleraikan pergaduhan itu sekaligus berlaku aksi tumbuk-menumbuk di antara dua penyokong tersebut.

Belum dapat dipastikan apakah punca sebenar pergaduhan tersebut namun sejak petang tadi para penyokong Selangor sudah pun diserang di luar stadium ketika melakukan ‘corteo’.

Difahamkan seramai 1000 orang penyokong Selangor telah diserang oleh 100 orang penyokong Perak yang didapati melakukan provokasi di kawasan tempat letak kereta stadium itu.

Ini bukan kali pertama insiden pergaduhan melibatkan golongan ‘casual’ berlaku dalam Liga Malaysia kerana sebelum ini juga terdapat kejadian yang sama di Stadium Kota Bharu dan Stadium Kuala Lumpur Cheras.

Sudah tentu ia menjatuhkan imej bola sepak Malaysia dan pasukan Perak atau Selangor mungkin bakal berdepan hukuman berat daripada Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perlawanan tersebut menyaksikan Selangor mencatat kemenangan 4-0 hasil dua jaringan penyerang import, Ayron Del Valle, Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal.

Keputusan itu bermakna Selangor kekal di tangga kedua Liga Super dengan 25 mata terikat dengan Sri Pahang namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.