Kelab yang sebelum ini dibelenggu dengan pelbagai masalah, Perak FC dilaporkan telah berjaya menyelesaikan beberapa perkara penting melibatkan isu tunggakan gaji.

Menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh menerusi laman Facebook rasmi kelab tersebut sebentar tadi, ansuran pembayaran [termasuk bayaran pendahuluan] berhubung tuntutan daripada bekas pemain import dari Korea, Jeon Hyo-seok telah mula dibuat baru-baru ini.

Azman dalam pada itu turut mengesahkan bahawa tunggakan gaji buat dua bekas pemain import, Leandro Dos Santos Oliveira dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) telah diselesaikan semalam.

Manakala, tuntutan ejen bagi kedua-dua pemain tersebut yang juga turut mewakili seorang lagi bekas pemain, Guilherme De Paula akan diselesaikan secara ansuran bermula bulan depan selepas kedua-dua pihak mendapat persetujuan bersama.

Kem Perak FC juga turut mampu menarik nafas lega dan menjadi azimat berguna dalam usaha mereka untuk mengelakkan penyingkiran ke Liga Premier selepas tunggakan gaji sebelum ini telah pun diselesaikan.

“Perak FC ingin menjelaskan bahawa penyelesaian ini perlu dilakukan kerana ia berkaitan dengan lesen kelab. Kegagalan membuat penyelesaian akan menyebabkan Perak FC tidak akan diberi lesen untuk menyertai Liga Super pada tahun hadapan.”

“Gaji bagi kesemua pemain Perak FC juga telah diselesaikan dan tiada sebarang tunggakan berkenaan isu berkenaan,” ujar Azman Noh.

“Selain dari itu, isu-isu yang berkaitan seperti dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga perlu dikemaskini dan Perak FC sudah membuat perbincangan dengan agensi-agensi berkenaan.”

“Perak FC merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak khususnya Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad kerana banyak membantu Perak FC dalam mencari sumber kewangan bagi menyelesaikan segala tuntutan,” tambah Azman lagi.

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

RASMI: Manchester United Umum Kehadiran Cristiano Ronaldo

Mbappe Tolak Tawaran Kontrak Lanjutan €45 Juta Semusim, Lebih Tinggi Dari Gaji Messi & Neymar

Alif Mutalib Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Fasa 1 Skuad B-20 Tahun

Sumber