Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila dua pemain import Perak FC musim iaitu Leandro Dos Santos dan Careca dilaporkan telah meninggalkan pasukan pada bulan lepas.

Malah lebih mengejutkan, kedua-dua pemain itu sedang merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan Perak FC kerana kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji selama 3 bulan.

Perkembangan itu didedahkan oleh Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh yang berkata rundingan telah diadakan dengan kedua-dua pemain itu namun persetujuan gagal dicapai.

“Pada mulanya, kita ingatkan punca mereka tarik diri disebabkan isu visa ahli keluarga mereka yang tidak diperbaharui dan tertangguh sejak enam atau tujuh bulan lepas. Bila perkara itu telah diselesaikan oleh pihak Perak FC, kita ingatkan mereka bersetujulah untuk kembali pada pasukan.

“Namun rupanya, mereka tetap tidak mahu kembali. Alasan yang diberi adalah mereka sedang menunggu keputusan peguam mereka di United Kingdom untuk meneruskan saman terhadap kelab disebabkan tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan,” katanya kepada Bernama.

Dua pemain kelahiran Brazil ini merupakan  tonggak utama yang banyak membantu pasukan dimana Leandro Dos Santos menjadi pengemudi di barisan tengah sejak tiga musim kebelakangan ini manakala Careca menjadi penggerak di bahagian serangan.

Leandro dan Careca mengikut jejak langkah beberapa pemain utama lain meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan kedua musim ini ekoran krisis kewangan yang dialami oleh Perak.

Antara pemain tersebut ialah Shahrul Saad dan Guilherme De Paula yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala dua lagi pemain iaitu Nazirul Naim menyertai Sabah manakala Shakir Hamzah pulang ke Singapura dengan menyertai Tanjong Pagar FC.

Malah, tidak cukup dengan masalah itu, Perak juga dirundung malang apabila tiga pemain tempatan yang ditandatangani sebelum ini iaitu Azhar Apandi, Mohd Syamin Baharuddin dan Mohd Aizzat Maidin Koty tidak dapat beraksi hingga akhir musim berikutan kegagalan kelab untuk mendaftarkan mereka dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Saya dimaklumkan kesilapan berpunca daripada kegagalan pihak kelab menyertakan sijil perpindahan mereka sebagai dokumen yang perlu dihantar ke MFL,” kata Azman.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Perak Telah ‘Dikuliahkan’ Oleh UiTM

Derbi Pantai Timur: Tok Gajah Longlai Dilanyak Penyu

Pasukan Kedah Dikuarantin Sehingga 14 Ogos