Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 28 pemain yang dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persediaan untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan bermula pada 5 Disember ini.

Akan tetapi, rata-rata peminat bola sepak tanah air sedikit kecewa dengan senarai yang dikeluarkan oleh FAM kali ini kerana ketiadaan beberapa pemain yang menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Piala Malaysia khususnya pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan barisan staf kejurulatihan telah membuat keputusan untuk merehatkan Arif Aiman berdasarkan jumlah perlawanan yang diharungi oleh pemain itu musim ini.

Keputusan ini nyata sukar diterima oleh peminat dimana kebanyakan dari mereka menggunakan pemain tengah Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol, Pedri sebagai rujukan.

Pedri beraksi dalam 72 perlawanan bersama Barcelona dalam saingan liga domestik dan juga skuad kebangsaan Sepanyol dalam temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Kita terpaksa rehatkan Arif, bukan kita sengaja tinggalkan beliau. Kalau kita lihat, beliau pemain muda yang berpotensi dan ia dapat dilihat dari segi permainannya. Sudah tentu pemain muda ini kita tidak boleh terlebih guna (overused) atau dia mungkin tidak dapat beraksi dengan baik akibat keletihan.

“Jika lihat pemain muda ini, dia sentiasa bermain dalam perlawanan yang kompetitif, beliau perlukan rehat. Saya pasti untuk tahun depan pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023, beliau akan bersedia,” kata Cheng Hoe.

Selain ketiadaan Arif, beberapa pemain yang menampilkan prestasi cemerlang yang lain turut tidak dipanggil seperti La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Nazmi Faiz Mansor, Ryan Lambert, Farizal Marlias, Shahrul Nazeem, Zhafri Yahya, Nor Azam Azih dan Shahrul Nizam Ros Hasni.

Berikutan saingan TM Piala Malaysia masih berlangsung, hanya pemain yang pasukannya sudah terkeluar daripada saingan, sama ada peringkat kumpulan dan suku akhir akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin, 22 November 2021.

Ia kemudian bakal disusuli pemain yang pasukannya tersingkir pada peringkat separuh akhir TM Piala Malaysia 2021 untuk melapor diri pada Ahad, 28 November 2021.

Seterusnya, pemain yang pasukannya layak ke Final TM Piala Malaysia 2021 pada Selasa, 30 November 2021 akan melapor diri pada Rabu, 1 Disember 2021.

Bagi pemain-pemain yang berpangkalan di luar negara, mereka akan melapor diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Takut Keletihan Punca Arif Aiman Tidak Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Aidil Zafuan Dipilih Berdasarkan Pengalaman Di Pentas Antarabangsa

Dion Cools, Shahrul Saad Kembali Perkuatkan Skuad Kebangsaan

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group