Penyokong Arsenal mendakwa pengendali kelab mereka, Mikel Arteta sudah pun meramalkan Manchester United bakal dibelasah 7-0 oleh Liverpool ketika aksi menentang Bournemouth pada sabtu lalu.

Ketika itu, Arteta dilihat menunjukkan angka tujuh dengan jarinya ketika perlawanan itu.

Selepas menyaksikan kebangkitan Arsenal ketika menewaskan Bournemouth 3-2, penyokong Arsenal berseloroh mengatakan Arteta mampu meramalkan masa depan semua pasukan Liga Perdana Inggeris.

Arsenal kini mendahului liga dengan kelebihan lima mata ke atas pesaing terdekat, Manchester City. –

Kisah Manchester United dibelasah Liverpool menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak dunia di media sosial. Bagi peminat Man U, ini adalah kekalahan yang paling memalukan dalam sejarah bola sepak mereka.

The Reds meledak enam gol di babak kedua untuk membelasah skuad kendalian Erik ten Hag yang hanya tewas sekali dalam 22 perlawanan sebelum ini.

Bekas pemain United, Roy Keane yang kini menjadi pengulas sukan itu berkata, pemain-pemain tidak mempunyai semangat juang dan patut merasa malu.

“Ia hari yang sangat teruk, amat mengejutkan. Permainan sudah berakhir di awal babak kedua. Pemain-pemain senior amat memalukan. Mereka tidak menunjukkan kemahiran sebagai pemimpin. Mengejutkan. Hari yang sukar buat United.

“Mujurlah saya bukan sebahagian daripada pasukan yang dibelasah sebegitu teruk ketika di United.

“Pemain-pemain sepatut berasa malu. Ketika cabaran semakin sukar, mereka terus hilang. Mereka tidak menunjukkan maruah, atau semangat juang.

“Pemain-pemain bintang, yang kami bentuk, semuanya mengecewakan. Jika dibelasah enam atau tujuh, anda patut menyorok beberapa hari. Saya akan menghilangkan diri untuk beberapa bulan. Saya tidak tahu nak kata apa, saya amat terkejut,” kata Keane.

The Red Devils kini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal.