Barisan serangan pasukan Terengganu bakal berwajah baharu musim hadapan apabila seorang penyerang dari Croatia dikhabarkan bakal dibawa masuk oleh pengurusan pasukan.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain yang dimaksudkan ialah Ivan Mamut yang kini berstatus sebagai ejen bebas.

Mamut merupakan penyerang berusia 25 tahun dan kali terakhir beliau terlibat dalam kancah bola sepak profesional bersama salah satu kelab elit di Liga Romania iaitu Steaua București.

Akan tetapi, meskipun pernah beraksi bersama kelab besar di Eropah, namun catatan gol pemain ini mencetuskan tandatanya dimana beliau tidak pernah menjaringkan dua digit gol dalam semusim sepanjang kariernya.

Dalam dua musim terakhir, Ivan hanya menjaringkan lima gol dan rekod ini dianggap kurang memberangsangkan memandangkan beliau diberi tanggungjawab sebagai penyerang utama.

Sekiranya Mamut dibawa masuk ke dalam pasukan, maka pemain dari Croatia ini akan menggantikan Kpah Sherman yang dilaporkan bakal menyertai Sri Pahang musim hadapan.

Bagi menghadapi saingan musim 2023, Terengganu bakal dibimbing oleh Tomislav Steinbruckner yang menggantikan ketua jurulatih sebelumnya, Nafuzi Zain.

Selepas pelbagai drama yang berlaku pada penghujung musim 2022, Nafuzi memutuskan untuk menolak kontrak lanjutan bersama Terengganu dan beliau memilih untuk menyertai Kedah Darul Aman.

Selaim Nafuzi, beberapa pemain tonggak Terengganu seperti Faisal Halim dan Papé Diakité turut meninggalkan pasukan dimana Faisal dikaitkan dengan pasukan Selangor.

Musim lalu, kelab dari Pantai Timur itu muncul sebagai naib juara Liga Super, naib juara Piala FA serta mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia yang mana mereka tewas kepada Selangor dengan agregat 3-2.