Terengganu bakal mendapat sentuhan dari Croatia apabila secara rasminya telah mengumumkan pelantikan Tomislav Steinbruckner sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Nafuzi Zain, sebentar tadi.

Perkembangan terkini kehadiran pengendali berusia 56 tahun itu pastinya akan memperlihatkan reaksi serta pendapat berbeza dalam kalangan para penyokong setia Terengganu.

Steinbruckner nyata tidak asing dengan skuad Terengganu kerana beliau sebelum ini pernah berkhidmat selaku Pengarah Teknikal pasukan pada bulan Mac lalu. Malah pada tahun 2015, beliau juga merupakan Ketua Jurulatih T-Team.

Keadaan yang memberikan indikasi jelas bahawa senario bola sepak di Terengganu sudah sebati dengan jiwa beliau.

Kredit Foto: Terengganu FC

Menurut sumber laman Facebook rasmi Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner telah memeterai perjanjian selama satu musim untuk bersama pasukan dimana kontraknya akan tamat pada 31 Disember 2023.

Tugas berat nyata bakal menantinya kerana selain daripada mahu menjadi pencabar hebat buat gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu juga akan turut beraksi dalam kancah Piala AFC 2023.

“Semestinya cabaran untuk mengendalikan pasukan Terengganu FC adalah besar kerana pasukan ini mengakhiri saingan Liga Malaysia dengan rekod yang baik dan semestinya pihak pengurusan kelab serta para penyokong ingin melihatkan rekod yang lebih cemerlang dapat dicapai bagi saingan musim 2023.”

“Namun beliau mengambil tanggungjawab ini dan bersedia untuk memberikan khidmat terbaik untuk kelab ini. Semoga Tomislav berjaya membawa kejuaraan buat Terengganu FC bagi musim 2023!,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Terengganu FC.

Sumber