Pemain pertahanan Boca Juniors, Marcos Rojo mendedahkan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Edinson Cavani cukup berminat untuk kembali ke Amerika Selatan bagi menyarung jersi kelab gergasi Argentina itu.

Ia berikutan kontrak penyerang berusia 34 tahun itu sudah hampir ke penghujung dan terdapat beberapa perkara yang membuatkan Cavani tidak selesa untuk terus menyarung jersi Manchester United.

Sudah pasti hukuman penggantungan tiga perlawanan dikenakan terhadapnya susulan kata-kata perkauman di media sosial peribadi miliknya turut menjadi sebab utama beliau dikatakan mahu meninggalkan Old Trafford.

Perkembangan terbaharu itu juga menguatkan lagi spekulasi apabila bapa Edinson Cavani, Luis sebelum ini mendedahkan bahawa anaknya mahu tinggal berhampiran dengan keluarganya dan beliau turut sudah banyak kali berhubung dengan Naib Presiden Boca Juniors, Juan Roman Riquelme.

“Saya banyak bercakap dengan Cavani. Kami pernah bersama-sama sekitar empat atau lima bulan di Manchester tetapi dia merupakan seorang yang hebat dan kami mempunyai hubungan yang baik,” ujar Rojo menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Ketika saya datang ke sini [Boca Juniors], dia bertanya bagaimana keadaan saya, adakah saya sedang baik-baik sahaja, kerana dia melihat semua perkara [kesukaran] yang saya alami ketika di England.”

“Sangat penting bagi seorang pemain seperti Cavani yang mempunyai sejarah hebat bersama Uruguay dan bermain di kelab yang hebat, mengatakan dia mahu datang dan bermain di Boca.”

“Saya fikir dia bercakap dengan sangat baik tentang Boca dan bola sepak di Argentina.”

“Apabila saya bercakap kepadanya ada kemungkinan buatnya untuk datang ke Boca, Cavani mengatakan bahawa dia telah bercakap dengan Roman [Riquelme] dan dia sangat menyukai pilihan tersebut,” tambah Rojo lagi.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Realiti Bola Sepak Malaysia Daripada Situasi Perak Dan Sabah, Mana ECP?

Penetapan Gaji Siling Boleh Jejaskan Kualiti Liga Malaysia

Ramos: Tanpa Messi Bersama Barca, Real Madrid Akan Menang Lebih Banyak Piala

Sumber