Seorang lagi pemain berdarah kacukan Malaysia bakal beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan apabila Kelab Bola Sepak Penang (PFC) mengumumkan Ryu Yamaguchi sebagai pemain ‘import’ baharu.

Menurut kenyataan rasmi PFC, Yamaguchi sebenarnya mempunyai darah Malaysia walaupun dilahirkan di Jepun. Pemain yang berusia 22 tahun ini mempunyai ketinggian 186 cm dan beraksi di posisi pertahanan.

Malah, beliau juga mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad Malaga City FC di Sepanyol sejak tahun 2021.

Kerjayanya bermula pada tahun 2013 apabila bersama Stoke City Football di Shanghai, China. Ryu juga pernah bersama akademi Penang Wanderes pada tahun 2015-16 sebelum berkelana ke England dan Sepanyol untuk bersama Brooke House College Football Academy Harborough, England dan CD Almunecar City di Granada, Sepanyol.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau didaftarkan sebagai pemain tempatan atau import kerana pendaftaran pemain tempatan dari luar negara terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh Malaysia Football League (MFL). 

Yamaguchi juga berpeluang beraksi bersama skuad Harimau Malaya berdasarkan statusnya sebagai pemain warisan kerana mempunyai darah keturunan Malaysia.

Tidak mustahil juga beliau dipanggil menyertai skuad kendalian Kim Pan-gon jika mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim depan. Mempunyai fizikal yang baik, sudah tentu bakal jadi aset penting Harimau Malaya di bahagian pertahanan.

Antara pemain warisan yang beraksi bersama skuad kebangsaan ketika ini ialah Dion Cools, Matthew Davies, Corbin Ong, David Rowley, Brendan Gan dan Declan Lambert.