Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan bahawa rayuan Sri Pahang FC untuk mendaftarkan dua pemain naturalisasi iaitu Lee Tuck (England) dan Sergio Aguero (Argentina) sebagai pemain tempatan telah diluluskan.

MFL juga turut mengumumkan pindaan Perkara 3.4.9(ii) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia yang dikuatkuasakan secara serta merta bagi mengelakkan percanggahan antara Perlembagaan Malaysia dan Peraturan Pertandingan MFL.

Keputusan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang meluluskan rayuan Sri Pahang FC untuk mendaftarkan pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia 2022.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Super kerana pendaftaran kedua-dua pemain ini akan berkuatkuasa pada pertandingan Piala Malaysia 2022.

“Untuk rekod, Sri Pahang FC telah mendaftarkan Lee Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran kedua (28 Mei 2022 hingga 24 Jun 2022) namun pendaftaran tersebut belum diluluskan sebelum ini.

“Pada 17 Ogos 2021, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan untuk menghentikan program naturalisasi. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud pasukan Liga Malaysia tidak boleh membuat permohonan kepada kerajaan Malaysia untuk menaturalisasikan pemain masing-masing.

“Oleh yang demikian, setelah mengkaji rayuan Sri Pahang FC mengenai perkara ini, MFL berpendapat bahawa implementasi peraturan pemain yang memperoleh kewarganegaraan di bawah Perkara 3.4.9(ii) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia, bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia,” kata MFL.

Maka, peraturan pemain yang memperoleh kewarganegaraan akan dipinda dan berkuatkuasa serta merta di mana implementasi peraturan tambahan lima tahun bagi pemain naturalisasi tidak lagi sesuai diguna pakai.

Namun kelulusan mana-mana pemain naturalisasi akan dibuat berdasarkan Peraturan Kelayakan yang termaktub dalam Statut FIFA iaitu tinggal selama 5 tahun berturut-turut di negara tersebut sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.