Pasukan Penang mencabar pihak yang mengatakan ada individu dalam pengurusan yang membocorkan ‘blueprint’ jersi kepada syarikat untuk menghasilkan cetak rompak agar tampil untuk memberi nama individu tersebut.

Sebelum ini, timbul kes cetak rompak jersi baharu pasukan yang bakal digunakan untuk saingan musim 2023 dan perkara ini nyata menarik perhatian ramai pihak.

Kumpulan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Inter Johor Firm (IJF) memberi komen dimana mereka mendakwa terdapat individu yang membocorkan ‘blueprint’ jersi kepada syarikat yang menghasilkan jersi cetak rompak.

Penang kemudiannya mencabar IJF agar memberi nama individu yang membocorkan ‘blueprint’ jersi pasukan dan sekiranya gagal berbuat demikian, pihak kelab enggan melayan tuduhan tersebut.

“Dakwaan ini hanya dianggap sebagai amat benar jika penulis mahu datang ke Penang dan memberi nama terus orang itu kepada Pengurusan.

“Jika hanya kenyataan umum, bolehlah dianggap saja satu bentuk helah muslihat perang saraf media untuk melaga-lagakan semua orang dalam pasukan dan menjadikan seramai orang saling syak sesama sendiri, dan menggoyah keyakinan orang luar terhadap pasukan.

“Dengan itu, kekeluargaan yang harmoni dalam Penang FC tidak akan bergoncang. Taktik semacam seperti ini sudah basi. Datanglah ke pejabat kami demi kebenaran. Dalam Akta Whistle Blower, pemberi maklumat akan dilindungi.

“Jika tuduhan terlalu umum dan rambang sebegini, pihak kelab lebih memilih untuk mengekalkan sangka baik sesama sendiri selagi mana tiada siapa yang mahu tampil untuk memberi keterangan,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Syarikat pengeluar jersi yang rasmi, Kaki Jersi turut menafikan tuduhan tersebut dan menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh IJF sebagai spekulasi yang tidak berasas.

“Pihak kelab telah memberikan sokongan padu kepada kami dalam mengeluarkan jersi rasmi pasukan. Hentikan spekulasi yang tidak baik. Pihak kami akan membanteras jualan jersi cetak rompak,” katanya.