Peminat Sri Pahang mempersoalkan keputusan pengurusan pasukan yang kembali melantik Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih sehingga penghujung saingan Liga Malaysia musim ini.

Dollah kembali mengendalikan Sri Pahang selepas pasukan itu menamatkan khidmat ketua jurulatih sebelum ini, Christophe Gamel ekoran prestasi yang kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Super. Selain itu, Sri Pahang juga melantik legenda Singapura, Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal kelab.

Menurut tinjauan kami di laman media sosial, peminat mempersoalkan mengapa pasukan terus memberi kepercayaan kepada Dollah untuk mengendalikan pasukan sedangkan skuad Tok Gajah tidak menampilkan prestasi yang baik ketika dibimbinh oleh jurulatih itu.

Sebelum ini, beredar khabar angin yang mengatakan Fandi akan dilantik sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Gamel dan peminat nyata teruja dengan perkara ini.

Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila Fandi dilantik sebagai Pengarah Teknikal dan Dollah Salleh kembali membimbing pasukan sehingga saingan musim 2022 menutup tirai.

Sri Pahang ketika ini menduduki tangga ke-11 dalam carta Liga Super dengan kutipan 8 mata selepas mengharungi sebelas perlawanan. Mereka hanya dibezakan satu mata sahaja dengan Penang yang ketika ini menduduki tangga ke-12.

Musim hadapan menyaksikan format Liga Super akan berubah dari 12 pasukan menjadi 18 pasukan sekaligus tiada penyingkiran ke divisyen bawah musim hadapan.

Sebanyak 18 pasukan akan mengambil bahagian dalam saingan divisyen pertama musim hadapan dimana saingan Liga Premier akan dihentikan buat sementara waktu dan digantikan dengan Liga Simpanan yang bakal diisi oleh pasukan yang dibarisi oleh pemain di bawah umur 23 tahun.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Selangor, Kelantan Sambut Baik Langkah MFL Dalam Penstrukturan Semula Liga M

Mahu Selaras Dengan Skuad Senior, FAM Bincang Dengan Kim Pan-gon Berhubung Pengganti Maloney

Harimau Malaya Bakal Hadapi Kejohanan 4 Penjuru Di Thailand Pada September