Sri Pahang FC yang hanya mampu mencatatkan dua kemenangan dan dua keputusan seri pada 11 aksi Liga Super Malaysia 2022 bakal mendapat semula kepakaran jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh.

Menurut kenyataan media dikeluarkan laman Facebook rasmi Sri Pahang FC sebentar tadi, Dollah yang sebelum ini merupakan pengurus pasukan akan bertindak selaku ketua jurulatih interim sehingga hujung musim.

Pengendali berusia 58 tahun itu menggantikan jurulatih kelahiran Perancis, Christophe Gamel yang mencapai persetujuan untuk meninggalkan kelab tersebut.

Satu keadaan hampir sama berlaku pada musim lalu apabila Dollah yang pada ketika itu merupakan pengurus pasukan turut dilantik semula sebagai ketua jurulatih hanya selepas dua perlawanan Pahang dibimbing Thomas Dooley.

Dalam perkembangan lain, Sri Pahang turut mengumumkan kehadiran legenda Singapura yang juga merupakan bekas pemain, Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal kelab tangga ke-11 itu.

Fandi merupakan salah seorang daripada pemain yang menganggotai skuad Pahang ketika muncul selaku juara Liga Premier dan Piala Malaysia 1992 dimana Dollah Salleh turut merupakan sandaran utama pasukan tersebut pada ketika itu.

Jawatan terakhir yang disandang oleh Fandi sebelum menyertai Sri Pahang ialah Ketua Pembangunan Elit Remaja di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan turut merupakan salah seorang daripada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Singapura dibawah kendalian Tatsuma Yoshida.

Beliau meletakkan jawatan pada 30 Jun lalu dengan alasan mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga serta ingin menerokai pengalaman baharu. Pastinya pengalaman baharu yang dimaksudkan adalah ingin berjasa buat Sri Pahang pula.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Mahu Selaras Dengan Skuad Senior, FAM Bincang Dengan Kim Pan-gon Berhubung Pengganti Maloney

Raphinha Tak Sabar Nak Robek Gawang Real Madrid: “Kami Lagi Bagus Daripada Mereka”

EAFF Sedia Terima Indonesia

Sumber