“Kualiti lebih baik daripada kuantiti”, itu yang ditegaskan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang menyifatkan keputusan badan bebas, First Instance Body (FIB) untuk tidak meluluskan permohonan pasukan bermasalah bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan wajar dipuji.

Berdasarkan pengumuman FIB kelmarin, permohonan dua kelab Liga Super, Melaka United FC dan Sarawak United FC ditolak kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022 sekali gus tidak layak untuk bertanding di pentas Liga Super 2023.

Zulakbal berkata, keputusan itu membuktikan ketegasan FIB dan MFL dalam menangani isu kelab bermasalah yang mencetuskan kebimbangan ramai pihak mengenai sejauh mana kelancaran penstrukturan baharu Liga Malaysia musim depan.

“Saya lihat tindakan ini memang wajar untuk diambil menunjukkan sendiri ketegasan FIB dan MFL sebab kalau kita biarkan, isu gaji dan sebagainya memang tidak akan habis bahkan akan menganiaya pemain.

“Sudah tiba masanya dalam era profesionalisme ini, tindakan tegas seperti ini perlu ada dalam liga sebab kita perlu tunjukkan dekat pasukan agar mereka lebih berdisiplin dan berupaya untuk bertanding.

“Saya sendiri lebih suka untuk katakan kita perlu mengambil berat kualiti daripada kuantiti di mana hanya mereka yang betul-betul layak sahaja beraksi dan jika MFL tidak tegas, saya rasa tiada pasukan yang akan menghormati peraturan selepas ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Sadek Mustafa yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam pula mengharapkan keputusan ini akan membuka mata banyak pihak untuk tidak lagi mengambil mudah aspek kewangan pasukan selepas ini.

Dan apa yang lebih penting adalah bagaimana pasukan-pasukan lain mengambil pengajaran untuk lebih bertanggungjawab dalam mencari dana untuk menjaga kelab dengan lebih baik.

“Apa yang berlaku memperlihatkan pengurusan dan modal pasukan dalam melaburkan sumber kewangan merupakan satu risiko di mana ia bukan mudah untuk menguruskan kelab.

“Dan ini yang perlu dilihat oleh pasukan-pasukan untuk mereka lebih berhati-hati dan lebih mengambil berat bagi mencari dana kewangan yang mencukupi.

“Jadi keputusan yang dibuat kepada mereka adalah tepat dan pasukan yang terlibat (Melaka United dan Sarawak United) perlu belajar sesuatu jika mereka ingin bangkit semula nanti”, jelasnya.

Terdahulu, Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

Manakala Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes FIFA di mana keputusan telah dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemain (Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor
Francis George Regan).

Bagaimanapun dua pasukan terbabit diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berhubung kelulusan permohonan itu sebelum tarikh akhir pada 19 Oktober 2022 terhadap keputusan FIB itu.